Buletin

HYUNDAI BERI BAYANGAN KETIBAAN STARGAZER, DEBUT DI KLIMS 2026

Hyundai memberi bayangan awal tentang ketibaan sebuah model baharu menerusi teaser bertajuk “A New Star Takes Centre Stage”, dan segala petunjuk kini menghala kepada kemunculan Hyundai Stargazer untuk pasaran Malaysia.

MPV kompak berimej futuristik itu dijangka membuat penampilan rasmi sempena Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026, sekali gus memperluas portfolio Hyundai dalam segmen kenderaan keluarga di negara ini.

Stargazer sebelum ini telah menerima model yang dikemas kini – dilancarkan di Thailand bagi model tahun 2026.

Di negara jiran tersebut, Stargazer ditawarkan dalam dua varian iaitu Trend dan Smart, dengan harga bermula 719,000 baht (sekitar RM87,600) hingga 799,000 baht (sekitar RM97,300).

Dari segi mekanikal, Stargazer facelift menggunakan enjin petrol aspirasi semula jadi Smartstream 1.5 MPI berkapasiti 1,497cc yang menghasilkan 113hp pada 6,300rpm serta tork 144Nm pada 4,500rpm. Kuasa disalurkan menerusi transmisi automatik IVT.

Untuk dimensi, MPV ini berukuran 4,575mm panjang, 1,780mm lebar dan 1,695mm tinggi, dengan jarak roda 2,780mm, memberikan ruang kabin yang agak luas untuk penggunaan keluarga.

Rekaan luar turut menampilkan identiti moden Hyundai dengan lampu hadapan automatik jenis halogen, lampu nyalaan siang LED, lampu isyarat LED pada cermin sisi boleh laras dan lipat elektrik, serta lampu belakang LED penuh.

Bahagian kabin pula memfokuskan aspek praktikaliti dan teknologi. Sistem infotainmen menggunakan skrin sentuh lapan inci lengkap dengan sambungan tanpa wayar Apple CarPlay dan Android Auto, selain paparan digital untuk kluster pemandu.

Kapasiti ruang kargo turut agak besar bagi sebuah MPV segmen-B. Dengan ketiga-tiga barisan tempat duduk digunakan, ruang simpanan menawarkan 185 liter kapasiti. Apabila baris ketiga dilipat, kapasiti meningkat kepada 585 liter, manakala ruang maksimum mencecah 1,892 liter.

Dari sudut keselamatan, varian tertinggi Smart turut dilengkapi pakej bantuan pemandu Hyundai SmartSense seperti kawalan jelajah pintar dengan fungsi stop-and-go, bantuan mengelak pelanggaran hadapan, bantuan kekal lorong, bantuan mengikuti lorong, amaran titik buta, amaran trafik silang belakang, amaran keluar selamat, bantuan lampu tinggi automatik dan sistem amaran keletihan pemandu.

Setibanya Hyundai Stargazer ke pasaran tempatan, model ini bakal menjadi pencabar terus kepada Mitsubishi Xpander, Toyota Veloz dan Honda BR-V dalam segmen MPV keluarga moden.

Google ads
Back to top button