Buletin

MERCEDES-BENZ C-CLASS W206 RASMI DILANCARKAN. 2 VARIAN, BERMULA RM288K

Mercedes-Benz Malaysia hari ini melancarkan secara rami sedan popularnya, C-Class dalam bentuk CBU ke pasaran tempatan.

Sedan segmen C tersebut hadir dalam dua varian iaitu C 200 Avantgarde Line pada harga bermula RM288,334 dan C300 AMG Line yang berharga RM330,681 seunit.

Sudah memasuki generasi ke-5, model yang menggunakan kod W206 itu nyata mengalami perubahan besar berbanding model W205.

Menggunakan platform MRA 2, rekaannya kini lebih moden dan menarik. Ia dapat dilihat dengan rekaan kombinasi overhang depan pendek dan jarak antara roda yang lebih panjang.

Lampu utamanya terdiri daripada sistem LED berprestasi tinggi dengan bantuan suluhan tinggi adaptif. Lampu belakang pula tampil lebih nipis dengan dua bahagian.

Suspensi sedan itu juga telah diturunkan sedikit, tetapi masih mengekalkan aspek keselesaan. Varian C 300 AMG Line menerima bumbung suria dan gril dengan corak menarik.

Tidak ketinggalan, ciri KEYLESS-GO, pakej parkir 360 darjah dan perlindungan kenderaan Urban Guard.

Melihat dari arah sisi, badan sisi jentera ini kelihatan seperti S-Class Varian C 200 Avantgarde Line dipasang dengan rim aloi lima jejari bersaiz 18 inci yang dibalut oleh tayar jenis run-flat . Manakala varian C 300 menggunakan rim AMG mult-spoke 19 inci.

Ruang kabin menerima perubahan yang paling ketara. Apa yang menarik perhatian pastinya Skrin meter instrumen LCD beresolusi tinggi bersaiz 12.3 inci.

Tidak cukup dengan itu, konsol tengah kini dipasang skrin sentuh 11.9 inci bersama ciri Touch Control yang diposisikan secara menegak.

Skrin itu dikatakan hanya satu inci lebih kecil berbanding apa yang ada pada S-Class. Lebih menarik lagi, papan skrin tersebut dihalakan 6 darjah ke arah pemandu. Selain ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

Aspek ketersambungan dipertingkatkan menerusi Mercedes-Benz Suser Experience (MBUX) generasi kedua dengan modul komunikasi LTE. Ia menawarkan ciri seperti pengimbas cap jari, pengecas tanpa wayar, MBUX Navigation Premium, maklumat lampu isyarat, pakej integrasi telefon pintar dan banyak lagi.

Varian C 200 Avantgarde Line dibalut oleh kemasan upholsteri ARTICO berwarna hitam atau sienna brown/black. C 300 AMG Line turut mendapat kemasan serupa, tetapi bersama pilihan warna dua tona sienna brown/black dengan perehat kepala berwarna hitam.

C 200 Avantgarde Line dikuasakan oleh enjin 1.5 liter turbo yang mampu menjana 201hp dan tork 300Nm. Enjin itu kemudian dipadankan dengan motor elektrik 15 kW/200 Nm, transmisi 9G-TRONIC, sistem suspensi Agility Control, mode pemanduan Dynamic Select serta bantuan Integrated Starter Generator (ISG).

C 300 AMG Line pula menerima enjin 2.0 liter turbo berkuasa 258hp pada 5,800rpm dan tork 400Nm pada 2,000 – 3,200rpm.

Enjin itu juga dipadankan bersama elektrik 15 kW/200Nm, transmisi 9G-TRONIC beserta ISG, di samping suspensi Agility Control dengan sistem peredam selektif.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 7.3 saat (6 saat untuk C 300) dengan kelajuan tertinggi dihadkan kepada 250 km/j.

Dari segi keselamatan, sedan berkenaan dilengkapi pakej Lane Tracking, Active Blind Spot Assist, Active Lane Keeping Assist, Active Brake Assist, kawalan jelajah, perlindungan pejalan kaki, sistem pemantauan tekanan tayar, serta bantuan parkir aktif. Varian C 300 AMG Line ditambah dengan sistem kamera keliling 360 darjah.

Warna yang ditawarkan ialah merah, perak, biru, biru, kelabu, hitam dan putih.

Google ads
Back to top button