Motosikal

SKUTER MODENAS KARISMA 125S RASMI DILANCARKAN. 3 PILIHAN WARNA, BERMULA RM5,397 

Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) hari ini memperkenalkan reka bentuk terbaharu skuter Modenas Karisma 125S. Model sebelum ini dilancarkan pada Ogos 2003 ketika MODENAS mula memasuki segmen skuter. 

Sejak itu,  ia mendapat sambutan hangat dan dikenali sebagai skuter 125cc yang berbaloi serta mampu milik. Pada tahun 2016, model facelift dilancarkan dan kini sudah tiba masanya untuk model baharu diperkenalkan.

Modenas Karisma 125S dilengkapi enjin 4 lejang bersesaran 124.8cc, silinder tunggal yang menepati piawaian Energy Efficient Vehicles (EEV) serta EURO 4. Ia mampu menghasilkan kuasa maksimum 9.38hp pada 7,500 rpm dan tork 10.0Nm pada 6000 rpm. 

Dengan sistem pancitan bahan api serta tangki minyak 5.1 liter, skuter ini sememangnya menjanjikan penjimatan terbaik. 

Skuter berkenaan didatangkan dalam tiga pilihan warna iaitu merah, emas dan biru. Reka bentuk luaran serba baharu yang futuristik dan sporty itu hadir bersama skema warna, grafik baharu serta beberapa ciri tambahan yang pasti akan menjadi tarikan kepada mereka yang menggemari konsep urban lifestyle.

Bahagian hadapan, skuter ini menggunakan lampu jenis LED bersama lampu nyalaan siang (DRL). Lampu isyarat hadapan dan belakang jugaLED.

Reka bentuk meter dipadankan dengan tolok aras bahan api digital yang mudah dilihat. Sistem kunci pula dilengkapi dengan suis buka tempat duduk yang moden.

Modenas Karisma 125S direka untuk keselesaan dan praktikaliti. Ia menawarkan ruang simpanan 14 liter yang cukup besar di bawah pelana yang ergonomik dan dua ruang simpan kecil pada bahagian hadapan.

Jentera ini dilengkapi soket pengecas USB untuk membolehkan anda mengecaj telefon pintar. Ia juga mempunyai lampu kecemasan yang amat membantu semasa kecemasan.

“Sambutan terhadap skuter semakin meningkat. Dengan adanya produk terbaharu ini, MODENAS dapat mengembangkan lagi pasaran skuter di Malaysia. Dengan reka bentuk baharu, dilengkapi teknologi serba moden serta harga mampu milik, saya percaya skuter ini mampu menambat hati pembeli,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS, Roslan Roskan. 

Harga jualan yang disyorkan Modenas Karisma 125S ialah RM5,397 (tanpa insurans dan cukai jalan). Ia akan berada di semua wakil pengedar sah MODENAS bermula 24 Februari 2022.

GALERI

Google ads
Back to top button