Buletin

MERCEDES-AMG E 63 S 4MATIC+ MASUK MALAYSIA. HARGA BERMULA RM1.1 JUTA

Mercedes-Benz Malaysia mendedahkan jentera berprestasi tinggi terbaharu Mercedes-AMG E 63 S 4Matic+ untuk pasaran tempatan.

Jentera terbaharu itu ditawarkan pada harga bermula RM 1,118,888.

Ia ditawarkan dengan pelbagai pilihan warna seperti putih (polar white dan designo diamond white bright), hitam (obsidian black metallic), kelabu (graphite grey metallic, selenite grey metallic dan designo selenite grey magno), perak (mojave silver metallic dan high-tech silver metallic), biru (nautic blue metallic dan designo spectral blue magno) serta merah (hyacinth red metallic).

Sedan premium itu didatangkan rekaan agresif dilengkapi gril bar melintang AMG, lampu hadapan LED lebih tirus, lampu belakang baharu dan bampar dipertingkatkan malah dipadankan rim aloi 20 inci menyerlahkan sisi sporty jentera berkenaan.

Selain itu, jentera terbaharu tersebut menawarkan Night Package sebagai ciri standard iaitu membabitkan aplikasi tona hotam berkilat pada komponen luaran seperti perumah cermin sisi, frem tingkap, akses bampar termasuk set muncung ekzos gelap.

Ia disertakan bersama AMG Exterior Carbon-FibrePackage I dan II yang merangkumi splitter depan, kemasan fender dan trim di bahagian belakang yang membabitkan material gentian karbon. 

Ruang kabin pula diperkemaskan dengan sentuhan AMG seperti kulit nappa pada tempat duduk AMG, kemasan jahitan lambang AMG, trim papan pemuka dan tali pinggang keledar berwarna crystal grey, serta roda stereng AMG Performance balutan kulit dan mikrofiber DINAMICA.

Pada roda stereng, ia hadir dengan sensor hands-on yang dapat mengesan kedudukan tangan pemandu dalam waktu tertentu.

Jika mendapati tangan pemandu tidak berada pada roda stereng ia akan memberi amaran malah mengaktifkan Emergency Brake Assist.

Mercedes-AMG E 63 S 4Matic+ mendapat khidmat enjin AMG 4.0 liter V8 turbo berkembar 3,882cc yang mampu menjana kuasa 612hp @ 5,750-6,500rpm dan tork 850Nm @ 2,500-4,500 rpm.

Ia berupaya memecut pada kelajuan 0 hingga 100 km/j dalam tempoh 3.4 saat.

Bagi keselesaan pemandu, jentera baharu itu memiliki Dynamic Select yang menyediakan enam mode pilihan iaitu Slippery, Comfort, Sport, Sport+, Individual dan Race.

Penggemar drift pula, jangan khuatir kerana ia turut mempunyai mod drift melalui program pemanduan Race.

Dari segi sistem infotainment, Mercedes-AMG E 63 S 4Matic+ didatangkan sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX) dengan dua unit skrin sesentuh iaitu sistem infotainmen dan instrumen digital.

Mercedes-Benz Malaysia turut menawarkan penyelesaian pembiayaan dan insurans mengikut kehendak para pembeli melalui Mercedes-Benz Financial.

GALERI:

Google ads
Back to top button