Buletin

MERCEDES-BENZ G 350 d KINI DI MALAYSIA. DIESEL TURBO 3.0L, RM1 JUTA

Pada majlis pelancaran rangkaian model GLB tempoh hari, Mercedes-Benz Malaysia turut memperkenalkan  Mercedes-Benz G 350 d.

Ini merupakan penambahan terbaharu ke dalam keluaga G-Wagen selepas model Mercedes-AMG G 63 diperkenalkan ke pasaran Malaysia pada November 2018.

Ditawarkan pada harga RM1.4 juta,  Mercedes-AMG G 63  sememangnya sebuah G-Wagen paling berkuasa dan diminati ramai. 

Berbalik kepada G 350 d, ia dikuasakan oleh enjin diesel enam silinder sebaris OM656 berkapasiti 3.0 liter turbo.

Berupaya menjana kuasa 281hp dan tork 600Nm itu boleh diperoleh di antara 1,200rpm hingga 3,200rpm. Kuasa berkenaan disalurkan ke pacuan semua roda menerusi kotak gear automatik 9G-TRONIC 9-kelajuan. 

Gabungan tersebut membolehkan kenderaan yang besar dan berat itu memecut dari 0-100km/j dalam masa 7.4 saat dengan kelajuan maksimum 199km/j. Enjin diesel dan sistem ekzosnya dikatakan lebih senyap dan kurang gegar, sekali gus memberikan kualiti pemanduan yang lebih selesa. 

G 350 d juga dipasang dengan pandakap enjin aktif buat pertama kali. Komponen tersebut berfungsi memberi redaman lebih lembut pada kelajuan bawah 5km/j dan menjadi semakin keras apabila dipandu laju.

Pemandu boleh memilih daripada mode pemanduan yang akan mengubah maklum balas dari segi transmisi, suspensi dan stereng. 

Penampilan G 350 d diserlahkan menerusi komponen AMG Night Package. Pakej tersebut terdiri daripada rim AMG bersaiz 20 inci, lampu isyarat membelok. lampu mengundur dan lampu utama yang digelapkan.

Tidak ketinggalan, pelindung tayar simpanan di belakang dan gril radiator diberikan warna hitam berkilat. 

Jika memilih pakej Stainless Steel pula, anda akan menerima running boards, pelindung tayar simpanan, kemasan pintu dan load sill guard belakang yang diperbuat daripada besi tahan karat. Sementara emblem Mercedes 3D didatangkan dalam warna hitam. 

Ruang kabin dimonopoli oleh tona hitam yang dikontraskan dengan kemasan perak pada sebahagian kecil papan pemuka, corong pendingin hawa, konsol tengah dan butang kawalan pada stereng. Tempat duduk dibalut dengan kulit berwarna hitam bersama jahitan benang merah. 

Untuk menjadikannya lebih sporty, tali pinggang keledarnya hadir dalam warna merah. Sistem audio pula terdiri daripada sistem bunyi keliling Burmester. 

Dari segi keselamatan, G 350 d dilengkapi rangkaian ciri keselamatan aktif Driving Assistance Package yang merangkumi  Active Distance Assist DISTRONIC dan Blind Spot Assist. 

Jika berminat, jentera keegemaran mafia Eropah ini boleh dimiliki pada harga RM999,888 tidak termasuk insurans. 

GALERI

Google ads
Back to top button