
TORETTO BERDARAH PAKISTAN DITEMUI BELI IKAN BAUNG DI MALAYSIA
Bila sebut sahaja nama Dominic Toretto, pasti ramai yang tahu tentang watak hero dalam filem francais Fast & Furious. Filem aksi yang terkenal di seluruh dunia itu nyata menaikkan nama pelakonnya iaitu Vin Diesel.
Diesel digambarkan sebagai seorang lelaki bertubuh tegap, cekap memandu kereta berkuasa tinggi dan mahir dalam seni bela diri. Populariti Diesel dan watak Toretto membuatkan ada individu yang meniru gaya pakaian dan berkepala botak sepertinya.
Buktinya, baru-baru ini seorang Toretto celup dari Thailand menjadi tular di media sosial. Lelaki yang berasal dari wilayah Chiang Rai dilihat sering menggayakan kemeja-t berwarna putih dan tampil botak.
Terbaharu, seorang lagi ‘kembar’ Toretto ditemui di Malaysia sedang membeli ikan baung di sebuah warung di tepi jalan. Walaupun lokasi tepat penemuan lelaki itu tidak dinyatakan, dia dikatakan berbangsa Pakistan yang telah berhijrah ke negara ini.
Rata-rata pengguna pengguna media sosial terkejut dengan penemuan itu dan menyifatkan Toretto kali ini adalah yang paling seiras pernah dijumpai.
“Dah masuk Islam, dah join tabligh Toretto. Kali ini yang paling seiras dijumpai. Mesti dia perasan orang samakan dia dengan Vin Diesel,” ujar Zalisham.
“Dia datang beli ikan dekat Malaysia, dah tak bawa kereta mungkin sekarang,” kata Syafix Abd Hamid.
“Ini yang paling seiras, kalau jumpa dekat Amerika ni memang orang ingat yang asli dah ni,” kata Zaibidi Haron. – KOSMO! ONLINE