
MERCEDES AKUI CHINA LEBIH PANTAS, GUNA AI PERCEPAT PEMBANGUNAN MODEL BAHARU
Mercedes-Benz mengakui kepantasan pengeluar automotif China dalam membangunkan model baharu semakin sukar ditandingi, sekali gus mendorong syarikat Jerman itu mempergiat penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi mempercepat proses pembangunan kenderaan.
Ketua Pegawai Teknologi (CTO) Mercedes-Benz yang baharu dilantik, Jörg Burzer, menyifatkan keupayaan pengeluar China menghasilkan kenderaan dalam tempoh singkat sebagai sesuatu yang luar biasa.
Dalam temu bual bersama majalah automotif Australia, Drive, beliau berkata kelebihan pengeluar China bukan sekadar terletak pada kepantasan pembangunan, malah keupayaan mereka memahami keperluan dan kehendak pelanggan.
Menurutnya, persaingan sengit dalam industri automotif sebenarnya memberi manfaat kepada pengguna, namun Mercedes-Benz tetap yakin dengan keupayaannya untuk bersaing di pasaran China mahupun Eropah.
Pengakuan itu hadir ketika Mercedes-Benz berdepan tekanan jualan, khususnya di China yang merupakan antara pasaran terpenting jenama mewah tersebut.

Pada 2025, jualan Mercedes-Benz di China merosot 19 peratus kepada 551,932 unit. Prestasi tahun ini juga menunjukkan perkembangan kurang memberangsangkan apabila penghantaran bagi tempoh Januari hingga September 2026 susut 29 peratus kepada 418,305 unit berbanding tempoh sama tahun lalu.
Di peringkat global, jualan Mercedes-Benz turut mencatatkan penurunan sembilan peratus kepada 1.8 juta unit pada 2025. Bagi sembilan bulan pertama 2026, penghantaran merosot lagi 7.2 peratus kepada 1.34 juta unit.
Bagi menangani cabaran tersebut, Mercedes-Benz kini memberikan tumpuan kepada penggunaan AI untuk memendekkan tempoh pembangunan model baharu tanpa mengabaikan aspek keselamatan dan kualiti.
Antara inisiatif diperkenalkan ialah sistem PLM.AI, iaitu platform digital berasaskan AI yang menghubungkan pelbagai bahagian operasi syarikat termasuk pembangunan kenderaan, pembelian, pengeluaran, jualan dan perkhidmatan selepas jualan.
Sistem itu membolehkan maklumat dikongsi dengan lebih pantas antara jabatan, sekali gus membantu jurutera mengenal pasti masalah, menilai pilihan teknikal dan membuat keputusan lebih awal dalam proses pembangunan.
Mercedes-Benz menyasarkan teknologi PLM.AI mampu mengurangkan keseluruhan tempoh pembangunan kenderaan sehingga 30 peratus, selain meningkatkan kecekapan proses kejuruteraan tertentu sehingga 50 peratus.
Penggunaan simulasi digital dan AI juga dijangka mengurangkan kebergantungan terhadap ujian fizikal sehingga 50 peratus dalam jangka panjang.
Teknologi AI berkenaan turut digunakan untuk membantu mengoptimumkan kos bahan, mengurus proses pensijilan, mengenal pasti kerosakan serta menyokong pembangunan perisian.
Bagaimanapun, Mercedes-Benz menegaskan bahawa penggunaan AI tidak bermakna tanggungjawab jurutera akan diketepikan. Keputusan akhir berkaitan pembangunan dan kejuruteraan kenderaan masih berada di tangan tenaga pakar manusia.
Dalam masa sama, pengeluar itu turut merancang memperluaskan barisan produknya menerusi beberapa model baharu dan dikemas kini.
Antara yang sedang dirancang termasuk model peringkat permulaan, generasi baharu CLA, E-Class elektrik, SUV kompak berimej G-Class serta kemungkinan kemunculan semula G-Class Convertible.
Divisyen prestasi tinggi Mercedes-AMG juga dijangka menerima beberapa model baharu termasuk C53 dengan enjin enam silinder, GT Black Series generasi baharu dan G63 versi bumbung terbuka.
Langkah tersebut memperlihatkan usaha Mercedes-Benz untuk memperkukuh daya saing dalam industri yang semakin pantas berubah, khususnya ketika pengeluar China semakin agresif memperkenalkan teknologi dan model baharu ke pasaran global.









