Buletin

MERCEDES-BENZ SAMBUT ULANG TAHUN KE-140 DI MALAYSIA MELALUI JELAJAH GLOBAL “140 YEARS. 140 PLACES.”

Mercedes-Benz meraikan ulang tahun ke-140 jenama itu menerusi siri jelajah global bertemakan “140 Years. 140 Places.”, yang kini singgah di Malaysia sebagai sebahagian daripada perjalanan merentasi enam benua, bermula dari Stuttgart, Jerman.

Program berkenaan bukan sekadar menandakan sejarah panjang pengeluar automotif mewah itu, malah menjadi platform untuk mendekatkan legasi Mercedes-Benz kepada pelanggan dan peminat di seluruh dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Mercedes-Benz Cars Malaysia serta Ketua Wilayah Mercedes-Benz Cars Asia Tenggara, Martin Schulz berkata, sambutan ulang tahun ke-140 itu mencerminkan kejayaan yang dicapai hasil gabungan semangat, ketelitian dan komitmen terhadap inovasi.

Menurut beliau, Malaysia mempunyai tempat istimewa dalam sejarah Mercedes-Benz dan jelajah global tersebut menjadi peluang untuk berkongsi warisan serta pencapaian jenama itu dengan rakyat negara ini.

Sempena ketibaan jelajah tersebut, acara khas diadakan di House of Mercedes-Benz, KLCC Square pada 30 dan 31 Mei lalu.

Pengunjung berpeluang menyaksikan pelbagai model klasik Mercedes-Benz, kenderaan berprestasi tinggi Mercedes-AMG serta penampilan sulung Mercedes-Benz S-Class baharu untuk pasaran tempatan.

Model sedan mewah itu menerima pelbagai penambahbaikan termasuk reka bentuk hadapan yang lebih menyerlah menerusi gril bercahaya yang lebih besar.

Ia turut dilengkapi sistem operasi terkini Mercedes-Benz Operating System (MB.OS), paparan digital MBUX Superscreen serta sistem suspensi udara AIRMATIC yang menjanjikan tahap keselesaan lebih tinggi.

Dalam masa sama, peminat sukan permotoran turut diberi peluang melihat secara dekat jentera Formula Satu Mercedes MGP W01 yang mempunyai nilai sejarah tersendiri.

Model tersebut merupakan kereta pertama hasil kerjasama antara PETRONAS dan pasukan Mercedes-AMG PETRONAS Formula One Team.

Kerjasama yang bermula sejak 2010 itu menyaksikan pelbagai kejayaan termasuk lapan kejuaraan berturut-turut kategori pengeluar dan tujuh gelaran dunia pemandu Formula Satu.

Hubungan lebih seabad dengan Malaysia

Sejarah Mercedes-Benz di Malaysia bermula sejak awal abad ke-20 apabila Sultan Johor dipercayai antara individu terawal di Tanah Melayu yang memiliki kenderaan jenama itu.

Jualan rasmi pula bermula pada tahun 1951 menerusi Cycle & Carriage sebelum beberapa pencapaian penting direkodkan.

Antaranya pemasangan kereta penumpang tempatan pada 1968 dan pemasangan model Mercedes-Benz S-Class di Malaysia pada 1983, menjadikan negara ini yang pertama di luar Jerman memasang model berkenaan.

Peranan Malaysia dalam operasi global Mercedes-Benz terus berkembang dengan pembukaan kilang pengeluaran di Pekan, Pahang pada 2004.

Pada 2023, kilang tersebut mencatat dua pencapaian penting menerusi pengeluaran Mercedes-Benz EQS 500 4MATIC pemasangan tempatan pertama serta penghasilan kenderaan penumpang Mercedes-Benz ke-100,000.

Selain aktiviti pemasangan, Malaysia kini turut memainkan peranan dalam bidang logistik dan teknologi digital menerusi Mercedes-Benz Parts Logistics Asia-Pacific (MBPLAP) dan Mercedes-Benz Tech Malaysia.

Fokus kepada pengalaman pelanggan

Mercedes-Benz turut menggunakan sambutan ulang tahun ke-140 ini untuk memperkukuhkan hubungan dengan pelanggan melalui pelbagai pengalaman eksklusif yang ditawarkan.

Antara inisiatif utama ialah program Agility+ dan Young Star Agility+, yang menyediakan penyelesaian pembiayaan fleksibel bagi model baharu dan kenderaan terpakai diperakui.

Pendekatan itu bertujuan memudahkan lebih ramai pelanggan memiliki kenderaan Mercedes-Benz sambil menikmati rangkaian perkhidmatan yang menyeluruh sepanjang tempoh pemilikan.

Melalui pelbagai inisiatif tersebut, Mercedes-Benz Malaysia berharap dapat terus mengukuhkan komuniti pemilik dan peminat jenama itu, sekali gus meneruskan legasi yang telah dibina selama 140 tahun di peringkat global.

Google ads
Back to top button