
MERCEDES-BENZ BANGUNKAN PLATFORM EV BAHARU DI CHINA GUNA TEKNOLOGI GEELY
Pembuat kereta mewah Jerman, Mercedes-Benz dilaporkan sedang membangunkan satu platform kenderaan elektrik (EV) baharu di China dengan memanfaatkan seni bina elektrik milik Geely.
Menurut laporan media China, 36Kr, projek berkenaan menandakan satu langkah luar biasa dalam sejarah lebih 130 tahun Mercedes-Benz apabila kuasa pembangunan bebas bagi platform baharu diberikan kepada pusat penyelidikan di luar Jerman.
Melalui perubahan ini, pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) Mercedes-Benz di China akan dijadikan ibu pejabat global bagi pembangunan kenderaan kompak, manakala pusat pembangunan di Jerman akan menumpukan kepada model bersaiz sederhana dan besar.
Sumber industri mendedahkan bahawa projek tersebut dikenali dengan kod nama “Phoenix”, yang dijangka menyokong pembangunan model EV peringkat permulaan untuk pasaran global.
Platform ini dijangka memasuki fasa pengeluaran sekitar tahun 2030 dan akan menggunakan seni bina elektrik GEEA milik Geely.
Apabila siap kelak, platform itu dijangka menggantikan platform MMA sedia ada Mercedes-Benz dan akan menjadi asas kepada beberapa model kompak global seperti Mercedes-Benz A-Class, Mercedes-Benz B-Class, Mercedes-Benz GLA, Mercedes-Benz GLB dan Mercedes-Benz CLA.
Difahamkan sejak akhir Januari lalu, pihak pengurusan Mercedes-Benz kerap mengadakan lawatan ke pusat R&D Hangzhou Bay milik Geely bagi membincangkan kerjasama berkaitan sistem elektronik dan seni bina elektrik kenderaan.
Dalam pembangunan kereta moden, seni bina elektronik dan elektrik (EE) dianggap komponen paling penting kerana ia menjadi asas kepada teknologi seperti sistem bantuan pemandu, kokpit pintar serta fungsi sambungan digital.
Sumber turut menyatakan Mercedes-Benz kini sedang menjalankan ujian konsep berasaskan seni bina GEEA 4.0 milik Geely, yang direka untuk menyokong kenderaan elektrik serta model enjin pembakaran dalaman.
Versi terdahulu, GEEA 3.0, yang digunakan pada model Geely Galaxy E5 sejak 2024, telah membantu mencapai jualan melebihi satu juta unit.
Salah satu faktor utama di sebalik langkah ini dipercayai berkait dengan usaha mengurangkan kos pembangunan.
Menurut sumber dalaman, Mercedes-Benz sejak satu hingga dua tahun lalu meneliti kaedah pengeluaran automotif di China yang terkenal dengan kos lebih rendah tetapi tetap mengekalkan tahap teknologi tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif Mercedes-Benz, Ola Källenius dilaporkan turut mengadakan beberapa mesyuarat strategik bersama pengurusan tertinggi syarikat bagi mencari kaedah meningkatkan keuntungan sambil mengawal kos pembangunan kenderaan elektrik.
Dalam kajian dalaman, jurutera Mercedes-Benz turut melakukan analisis teknikal terhadap model Zeekr 001 dan mendapati kenderaan tersebut memiliki tahap kejuruteraan yang baik walaupun kos penghasilannya jauh lebih rendah berbanding model Mercedes.
Kerjasama ini juga mencerminkan perubahan besar dalam industri automotif global. Jika dahulu syarikat luar masuk ke China untuk mendapatkan teknologi, kini pengeluar global pula semakin bergantung kepada kepakaran teknologi dari China dalam pembangunan EV pintar.
Sebelum ini, Volkswagen bekerjasama dengan Xpeng, Stellantis menjalinkan kerjasama dengan Leapmotor, manakala Renault turut menjalin kolaborasi dengan Geely.
Malah, Ford juga dilaporkan sedang berbincang dengan Geely mengenai potensi kerjasama dalam sistem pemanduan autonomi serta perisian sambungan pintar.
- BACA: BRIDGESTONE UJI POTENZA ADRENALIN RE005 UNTUK MEDIA ASIA PASIFIK
- BACA: CFMOTO AMBIL ALIH KALEX ENGINEERING – INI APA YANG ANDA PERLU TAHU
- BACA: TIADA LAGI ORA GOOD CAT DI THAILAND, GWM PERKENAL ORA 5 – BATERI 58.3kWh, JARAK GERAK 580KM
- BACA: DI SEBALIK KONFLIK IRAN: SIAPA TERKESAN DALAM INDUSTRI AUTOMOTIF GLOBAL?







