Buletin

MERCEDES-BENZ X-CLASS, PIKAP DENGAN ENJIN V6 3000 CC TURBO

Dari Nissan Navara kepada Mercedes-Benz X-Class. Memang kecoh apabila Mercedes-Benz pertama kali menayangkan imej pikap saiz sederhana keluarannya.

Isu pertama ialah sehebat-hebat Mercedes-Benz pun ambil pikap jenama lain dan isu kedua ialah rekabentuk yang saling tidak tumpah dengan Nissan Navara.

Jika diperhatikan secara dekat sebenarnya banyak juga perbezaan di antara Navara termasuklah bahagian dalam namun Mercedes-Benz masih gagal memadamkan identiti Nissan Navara.

Mungkin jumlah Navara yang banyak di atas jalan raya tempatan menyebabkan pengguna tidak begitu menyanjung tinggi pikap ini walaupun dijenamakan semula sebagai Mercedes-Benz.

Selain itu, walaupun pikap merupakan kenderaan popular di negara ASEAN, Mercedes-Benz memutuskan untuk memberi fokus kepada pasaran Eropah, Afrika dan Australia.

Maknanya belum tentu lagi pikap ini dipasarkan di negara ASEAN selain daripada penjenamaan Mercedes-Benz sebagai ikon kenderaan mewah yang langsung berbeza dengan segmen seperti pikap ini.

Jika dianalisa spesifikasi teknikal yang diberikan, Mercedes-Benz turut mengguna semula nadi kuasa Nissan. Maknanya, selain daripada casis, enjin dan kotak gear juga sama seperti Nissan Navara.

Walaupun begitu Mercedes-Benz tidak mengabaikan inventori yang mereka ada dengan memasukkan juga enjin enam silinder dan pacuan sepenuh masa 4MATIC.

Dengan kuasa 258 hp dan tork maksimum 550 Nm dari enjin 3.0 liter enam silinder (V6) turbo, inilah X-Class paling berkuasa yang mampu memecut dari 0 km/j hingga 100 km/j dalam masa 7.9 saat sahaja selain kelajuan maksimum 205 km/j.

Pacuan AWD sepenuh masa pula penting untuk digunakan semasa jalan lincir atau bersalji di Eropah dengan memberi lebih cengkaman.

Model X 350 d 4MATIC ini juga dilengkapi dengan transmisi canggih tujuh kelajuan 7G-TRONIC PLUS dengan pedal tukaran gear di stereng. Bukan setakat canggih, pikap ini turut dilengkapi dengan fungsi ECO start/stop dalam memberikan pemanduan menjimatkan.

Mercedes-Benz juga tidak merancang pikap ini sebagai sebuah pikap semata-mata. Sudahlah laju dan berkuasa, ia turut dilengkapi dengan sistem pemanduan DYNAMIC SELECT di mana pemandu boleh memilih pelbagai mod pemanduan. 

Pemandu boleh memilih pemanduan bersahaja sehingga kepada sporti dan dinamik. Lima mod pemanduan DYNAMIC SELECT ialah Comfort, ECO, Sport, Manual dan Offroad.

Boleh tahan juga jelmaan semula Nissan Navara ini dan model tertinggi X-Class akan mula memasuki pasaran Eropah pada pertengahan tahun ini. Terdapat dua varian yang ditawarkan untuk pembeli iaitu PROGRESSIVE dan POWER.

Spesifikasi boleh tahan manakala harganya juga keras. Di Jerman, harga termasuk cukai VAT Mercedes-Benz X-Class X 350 d 4MATIC ialah Euro 53,360 atau bersamaan RM 255,674.65.

Baru puas hati beli pikap Mercedes-Benz dengan harga begini. Lagi pula harga pikap di Eropah memang mahal berbanding di negara ASEAN yang dipasarkan dengan harga kompetitif susulan perjanjian bebas.

Google ads
Back to top button