Buletin

MERCEDES-BENZ VISION ICONIC: GABUNGAN GLAMOUR, KLASIK DAN TEKNOLOGI MASA DEPAN

Mercedes-Benz sekali lagi mencuri tumpuan di Shanghai apabila memperkenalkan Vision Iconic, sebuah kereta konsep yang menggabungkan pesona klasik era pra-perang dengan teknologi elektrik dan digital terkini.

Model konsep ini berfungsi sebagai kajian reka bentuk dan platform ujian teknologi, menonjolkan bagaimana jenama Jerman itu membayangkan masa depan mobiliti mewah.

Reka bentuknya mencuri perhatian dengan gril krom besar berbingkai logam berkilat dan corak jeriji kaca gelap, diiringi pencahayaan halus di sekelilingnya serta lencana Mercedes yang bercahaya di atas hud.

Menurut Mercedes, Vision Iconic diinspirasikan daripada sedan klasik tahun 1960-an serta model ikonik seperti Mercedes 600 Pullman, namun bentuknya yang licin, minimalis dan futuristik memastikan ia kekal moden dan relevan.

“Vision Iconic melambangkan visi kami terhadap masa depan mobiliti,” kata Ketua Pegawai Teknologi Mercedes-Benz, Markus Schäfer.

“Dengan inovasi seperti komputasi neuromorfik, sistem stereng tanpa sambungan fizikal, cat solar dan pemanduan autonomi Tahap 4, kami menetapkan piawaian baharu untuk era elektrik dan digital.”

Bahagian dalamannya membawa pengalaman seperti ruang rehat mewah, dihiasi dengan kerusi baldu biru, kemasan tembaga, serta lantai berinspirasi Art Deco menggunakan jalinan jerami marquetry.

Papan pemukanya pula dinamakan “hyper-analog”, menggabungkan kawalan fizikal dengan paparan digital tersembunyi.

Antara teknologi menarik yang diuji ialah cat solar, sejenis lapisan fotovoltaik yang mampu menambah sehingga 7,400 batu (lebih 11,000 km) jarak pemanduan setahun di bawah keadaan optimum.

Sementara itu, komputasi neuromorfik meniru cara otak manusia memproses maklumat, yang menurut Mercedes dapat mengurangkan penggunaan tenaga sistem pemanduan automatik sehingga 90 peratus berbanding cip konvensional.

Sistem steer-by-wire yang digunakan pula menghapuskan sambungan mekanikal antara stereng dan roda, membuka jalan ke arah pemanduan autonomi Tahap 4, membolehkan kereta memandu sendiri dalam keadaan tertentu.

Ketua pereka Mercedes-Benz, Gorden Wagener, menggambarkan Vision Iconic sebagai “arca yang bergerak,” satu penghormatan terhadap warisan reka bentuk tahun 1930-an dan bayangan masa depan gaya Mercedes.

Walaupun belum ada maklumat mengenai sistem kuasa yang digunakan selain ia bersifat elektrik, Vision Iconic jelas menunjukkan hala tuju Mercedes-Benz, menggabungkan warisan, kemewahan dan teknologi pintar.

Google ads
Back to top button