
MERCEDES, GEELY MAHU JUAL PEGANGAN DALAM SMART, NILAI CECAH $1 BILION
Pengeluar Mercedes-Benz dan Zhejiang Geely Holding Group masing-masing mempunyai pegangan di dalam syarikat automotif smart.
Demi memastikan lebih banyak dana yang dapat dijana, kedua-dua pihak dilaporkan mahu menjual sebahagian daripada pegangan mereka dengan nilai dianggarkan antara $500 juta hingga $1 bilion (RM2.09 juta – RM4.19 bilion).
Malah, jenama smart kini dianggarkan bernilai sekitar $5 bilion (RM20.9 bilion)!
Jenama smart kini menjadi satu jenama eksklusif yang hanya menawarkan kenderaan elektrik setelah menghentikan penawaran model-model berenjin pembakaran dalaman.
smart bakal melancarkan sebuah crossover elektrik serba baharu dan menurut Bloomberg, Mercedes-Benz percaya golongan muda di China mampu membantu jenama itu untuk terus berkembang maju.
Crossover baharu itu merupakan versi produksi kepada model Concept #1 yang diperlihatkan di Munich Motor Show sebelum ini.
Menariknya, jenama automotif tempatan Proton menerusi Proton Edar baru-baru ini telah dilantik sebagai pengimport dan pengedar eksklusif jenama smart untuk pasaran Malaysia dan juga Thailand.
Sumber: Bloomberg








