Buletin

PROTON EDAR DILANTIK SEBAGAI PENGIMPORT/PENGEDAR MODEL SMART DI MALAYSIA DAN THAILAND

Pengeluar kereta nasional PROTON menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) dengan smart Automobile Company (smart), untuk bekerjasama bagi memperkenalkan kenderaan tenaga baru (NEV) keluaran smart dalam pasaran automotif ASEAN.

Perjanjian itu bakal menyaksikan Proton Edar dilantik sebagai pengimport, pengedar dan wakil jualan untuk smart di Malaysia dan Thailand. Manakala smart Automobile (Nanning) Sales Co. Ltd, yang merupakan anak syarikat milik penuh smart Automobile akan memainkan peranan sebagai pintu masuk untuk smart ke rantau ini.

Majlis tandatangan Memorandum Perjanjian tersebut diadakan secara maya dengan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah dan Naib Presiden Kewangan smart Automobile, Ulf Nestler. Majlis itu turut disaksikan oleh Pengerusi PROTON, Dato’ Sri Syed Faisal Albar; Ketua Pegawai Eksekutif smart Automobiles, Tong Xiangbei dan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong. 

Dengan termetrainya perjanjian ini, Proton akan mengambil langkah pertama dalam perlaksanaan strategi NEV. Perjanjian dengan smart membolehkannya untuk menimba pengalaman dari segi penjualan, perkhidmatan dan pengecasan NEV serta membina kemahiran yang diperlukan untuk menguasai sektor yang sedang berkembang pesat. 

“Ini juga menjadi peluang untuk memanfaatkan pangkalan data pelanggan smart dan membuka lebih banyak peluang untuk jenama Proton,” kata Syed Faisal Albar.

Agensi Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa (IRENA) meramalkan bahawa lebih kurang 10 juta unit Kenderaan Tenaga Baru akan digunakan di Asia Tenggara menjelang tahun 2025. Dengan portfolio produk NEV baharu yang akan dilancarkan dalam tahun-tahun yang akan datang, smart akan berada dalam kedudukan yang baik untuk mengambil kesempatan daripada perkembangan ini.

“Dengan strategi perniagaan “dual-home” (Eropah and China), syarikat telah pun meliputi dua pasaran automotif utama di dunia. Kini, sebagai rancangan perniagaan berpandangan ke hadapan, kami akan berganding bahu dengan PROTON di Asia Tenggara. 

“Perjanjian ini akan membolehkan kami memasuki pasaran Malaysia dan Thailand lebih awal sebagai rakan strategik serantau. PROTON mempunyai reputasi korporat kelas pertama, pengalaman luas dan pengetahuan operasi tempatan yang amat berharga. 

“Kami berharap kerjasama ini dapat memberi pengalaman baru kenderaan elektrik yang premium dan pintar kepada pengguna di Asia Tenggara,” kata Tong Xiangbei.

Perjanjian dengan Proton Edar membolehkan smart membina rangkaian jualan dan perkhidmatan pelbagai peringkat di Malaysia dan Thailand. Selain menjadi pusat pengalaman jenama dan beberapa lokasi jualan yang menyediakan perkhidmatan jualan dan selepas jualan untuk kenderaan smart di pasaran tempatan. 

Buat masa sekarang, tiada rancangan untuk bekerjasama di luar prinsip perjanjian yang telah dipersetujui.

Google ads
Back to top button