Buletin

MERCEDES-MAYBACH S 560 & S 650 –  BERMULA RM1.4 JUTA, SEDIA UNTUK DIKUSTOM

Mercedes-Benz Malaysia (MBM) baru-baru ini memperkenalkan model yang disifatkan sebagai kemuncak kemewahan, Mercedes-Maybach S 560 & S 650.

Varian S 560 menggunakan enjin V8 untuk biturbo yang mampu menghasilkan kuasa mencecah 469hp dan tork 700Nm pada 2,00-4,000rpm. Dengan kuasa tersebut, ia boleh mencatat kelajuan 0-100km/j dalam masa 4.9 sahaja.

Versi S 650 pula hadir dengan enjin V12 bersesaran 6.0 liter yang menyediakan kuasa sehingga 630hp dan tork 1,000Nm dengan pecutan maksimum 250km/j. Kedua-dua enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear 7G-Tronic yang menyalurkan kuasa ke roda belakang.

MBM menawarkan saloon mewah ini pada harga bermula RM1.4 juta dan pelanggan boleh membuat pengubahsuaian berdasarkan kepada kecenderungan serta ketebalan poket masing-masing.

Penampilan eksklusif

Mercedes-Maybach menggabungkan kesempurnaan kenderaan Mercedes-Benz dengan eksklusiviti jenama Maybach. Ia kini dipasang dengan gril radiator baharu, cat badan dua tona (pilihan) dan kombinasi warna ruang dalaman untuk kelihatan lebih mewah.

Penampilan luarannya disempurnakan lagi dengan rim multi-jejari bersaiz 20 inci. Terdapat tiga rekaan rim yang boleh dipilih, termasuklah rekaan 20 lubang yang sama seperti pada model Mercedes-Maybach S Cabriolet.

Sedan ini dibina di atas tapak roda sepanjang 3365mm, 20mm lebih panjang berbanding S-Class biasa. Ini memberikan ruang luas kepada penumpang belakang yang ditawarkan dengan tempat duduk Executive yang sangat selesa.

MAGIC BODY CONTROL

Keselesaan ruang kabin dipertingkatkan menerusi aplikasi sistem MAGIC BODY CONTROL yang menggabungkan suspensi aktif dengan peredam boleh ubah sepanjang masa dan ROAD SURFACE SCAN. Dengan bantuan sebuah kamera stereo, permukaan jalan akan diimbas bagi membolehkan peredam pada setiap roda dioptimumkan.

Aspek keselamatan juga dibantu oleh sistem Night View Assist Plus yang berfungso mengesan kehadiran pejalan kaki dan binatang besar pada waktu malam. Objek akan dipaparkan dengan jelas pada paparan kokpit.

Sistem bunyi Burmester

Anda pasti puas hati dengan sistem bunyi keliling tiga dimensi (3D) mewah Burmester® yang didatangkan bersama 27 unit pembesar suara. Nikmati muzik kegemaran bersama fungsi urutan ENERGIZING yang semestinya membuatkan tubuh lebih segar.

Kejayaan Mercedes-Maybach terbukti apabila lebih 25,000 unit Mercedes-Maybach S Class berjaya dijual sejak Februari 2015.

GALERI

Google ads
Back to top button