Modifikasi

SEBUAH KANCIL, KISAH MODERNO DAN HOBI KEI-CAR YANG TIADA KESUDAHAN…

Dunia modifikasi Kancil sebenarnya dah sampai tahap tepu. Maaf cakaplah, rasanya takde apa yang boleh ditunjuk lagi. Semua benda dah pernah orang buat, sampai tema MDM pekak pun dah jadi makin menarik. Tugas pemilik sekarang cuma ambil semula ideanya dan salin kembali kepada kereta masing-masing.

Kedudukan kereta ini juga semakin tenggelam selepas model-model Mira yang asli, sudah boleh dibawa masuk secara sah. Nak yang macamana. Dua pintu, banyak pintu, takde pintu, semuanya boleh dipetik jika tegar dan kemampuan. Bila dah sampai begini, golongan Kancil marhaen nak kata apa lagi. Memang makan kicap ler kalau niat nak lawan.

BACA: RAHSIA KANCIL ERA

Jai antara yang masih tegar dengan dunia modifikasi Kancil-Mira. Walaupun tak aktif macam dulu-dulu, ia terlalu nostalgik untuk terus dilupakan. Pakai selagi perlu. Setidak-tidaknya, boleh jugak dibuat modal untuk menarik kawan.

Bahagian luar menggunakan kit badan Mira L200 Moderno Limited sebagai asas. Ia kemudian diadunkan dengan komponen kemasan krom untuk skup, skirt sisi, cermin sisi dan arch roda. Tidak ketinggalan penggunaan aksesori Mira yang lain macam spotlight ketam, washer lampu, parking marker, lintah bumper, visor, garnish pintu, termasuk signal depan dan lampu belakang jenis albino.  

Kedudukan kereta direndahkan dengan cara yang mudah, menggunakan set gegelung dari GAB. Sementara rim Volk Racing TE37 dan tayar Federal 595 EVO dari saiz 165/55R-15, telah dipilih untuk menghiasi ruang rodanya. Penggunaan rim ini juga memerlukan kuasa hentiannya diubah, memandangkan saiz PCD dan knuckle yang berbeza.

Enjinnya disalin dari Mira L200S. Standard jer pun, janji turbo. Buat masa ini, ia hanya diberi sedikit komponen tambahan seperti injap pelepas Sard, regulator Works Engineering, kabel pencucuh NGK, radiator aloi. Okey dah tuh…

Paparan dalam disepahkan dengan komponen dari varian yang pelbagai. Nampak macam tak kena, tapi itulah cara mereka. Ada papan pemuka Mira L500 dengan trim karbon fiber, stereng Moderno, juga sebuah meter Myvi berkaler biru. Kemudian ada tempat duduk depan Mira Parco, tempat duduk belakang Mira Grand, panel pintu Mira L500 versi Hello Kitty, serta rangkaian aksesori Mira dan Hello Kitty yang makan tahun dikumpulnya.

Penggunaan gajet elektronik juga tidak kurang hebatnya, seperti unit RSM, AVCR, SAFC II, meter turbo GReddy, juga deretan meter tambahan dari Shadow. Untuk sistem audio pulak, ia dikuasai sepenuhnya oleh rangkaian komponen dari Pioneer Carrozzeria.

Ramai sudah meninggalkan dunia kekancilan. Yang masih bertahan hanyalah golongan pemilik baru serta mereka yang benar-benar tegar. Tak pasti sampai bila kelangsungan model ini mampu bertahan. Jika tidak diberi pembelaan sepatutnya, ia mungkin akan lenyap dari ruang paparan ini tanpa kita sedari…

-PAK MAUN-

GALERI

Google ads
Back to top button