
MERCEDES-BENZ C-CLASS ELEKTRIK BAHARU DIPERKENAL: PRA-TEMPAHAN DIBUKA, HARGA ANGGARAN RM360,888
Mercedes-Benz Malaysia memperkenalkan model elektrik sepenuhnya C-Class terbaharu menerusi pratonton eksklusif, sekali gus membawa nama model sedan popular itu ke era mobiliti elektrik.
Dikenali sebagai Mercedes-Benz C 300 4MATIC electric AMG Line Plus, model berkenaan mengekalkan identiti C-Class yang sinonim dengan kemewahan, keselesaan dan prestasi, namun hadir dengan platform elektrik khusus serta pelbagai teknologi baharu.
Dari sudut reka bentuk, sedan elektrik itu menampilkan profil badan menyerupai sebuah coupe dengan bahagian hadapan lebih rendah, garis bumbung melandai dan bahagian belakang yang bulat.
Antara elemen paling menonjol ialah gril hadapan bercahaya dengan bingkai krom gelap, corak jejaring seakan kaca serta logo bintang Mercedes-Benz di bahagian tengah. Lampu utama DIGITAL LIGHT dengan reka bentuk bintang turut melengkapkan penampilan hadapan.

Varian AMG Line Plus pula menerima rim aloi AMG berbilang jejari berukuran 20-inci, pakej Night Package dengan kemasan hitam berkilat serta lampu belakang LED berbentuk bintang.
Mercedes-Benz turut memberikan perhatian terhadap aspek aerodinamik apabila model ini mencatatkan pekali seretan bermula 0.22, sekali gus membantu meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga dan jarak perjalanan.
Ruang kabinnya menggunakan pendekatan reka bentuk baharu dengan tumpuan terhadap keselesaan serta pengalaman digital. Antara tarikan utama ialah paparan MBUX Hyperscreen bersaiz 39.1-inci yang merentasi hampir keseluruhan papan pemuka.
Ia turut dilengkapi bumbung panoramik SKY CONTROL yang mempunyai 162 bintang bercahaya. Permukaan kaca tersebut boleh ditukar daripada lutsinar kepada legap dalam masa singkat menerusi sembilan segmen yang boleh dikawal secara berasingan.

Dari segi ruang, jarak roda sepanjang 2,962mm memberikan tambahan ruang kaki kepada penumpang hadapan sebanyak 12mm berbanding C-Class konvensional. Ruang but belakang pula berkapasiti 470 liter, selain ruang simpanan hadapan atau frunk berkapasiti 101 liter.
Untuk prestasi, model ini menggunakan motor elektrik segerak magnet kekal (PSM) pada gandar belakang yang dipadankan dengan transmisi dua kelajuan.
Sistem pacuan semua roda 4MATIC turut menggunakan motor elektrik pada gandar hadapan yang diaktifkan mengikut keperluan bagi meningkatkan cengkaman dan prestasi.
Gabungan sistem berkenaan membolehkan model ini menghasilkan kuasa maksimum 310kW dan tork 800Nm, sekali gus membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 4.5 saat.

Bateri berkapasiti 85kWj dengan teknologi elektrik 800 volt pula menawarkan jarak pemanduan sehingga 690km mengikut piawaian WLTP.
Sistem pengecasan pantas DC menyokong kuasa sehingga 320kW, membolehkan tambahan jarak sehingga 290km diperoleh dalam tempoh 10 minit dalam keadaan pengecasan yang sesuai.
Sistem pengecasan AC turut disediakan menerusi pengecas terbina dalam berkuasa 22kW. Selain itu, sistem brek One-Box membolehkan tenaga ketika membrek dipulihkan dengan kuasa regeneratif sehingga 300kW.
Aspek teknologi turut dipertingkat menerusi sistem operasi Mercedes-Benz MB.OS yang mengintegrasikan fungsi infotainmen, navigasi dan bantuan pemanduan.
Sistem navigasi berasaskan Google Maps turut disediakan bersama fungsi kecerdasan buatan (AI), selain navigasi realiti terimbuh (AR) yang sebelum ini ditawarkan pada model lebih tinggi seperti S-Class dan EQS.
Model ini turut dilengkapi sistem bantuan pemanduan MB.DRIVE, termasuk MB.DRIVE ASSIST untuk membantu kawalan stereng serta MB.DRIVE PARKING ASSIST 360 bagi memudahkan urusan parkir.
Dari aspek keselamatan, sehingga 27 kamera dan sensor digunakan untuk menyokong pelbagai fungsi bantuan pemanduan. Ia turut dilengkapi sehingga 11 beg udara, termasuk beg udara tengah hadapan, selain sistem PRE-SAFE®.
Mercedes-Benz C 300 4MATIC electric AMG Line Plus kini dibuka untuk pra-tempahan di Malaysia pada harga anggaran bermula RM360,888.
Maklumat lanjut mengenai model berkenaan boleh diperoleh menerusi laman web rasmi Mercedes-Benz Malaysia.
GALERI:



























