Buletin

MERCEDES-BENZ PERKENAL AGILITY+, MILIKI MODEL PREMIUM SERENDAH RM1,988 SEBULAN

Mercedes-Benz Malaysia memperkenalkan Agility+, satu pelan pembiayaan fleksibel yang membolehkan pelanggan memiliki kenderaan jenama itu dengan bayaran bulanan bermula serendah RM1,988.

Inisiatif yang ditawarkan menerusi kempen FLEX by Mercedes-Benz Malaysia itu bukan sekadar menyediakan kemudahan pembiayaan, malah memberi tumpuan kepada pengalaman pemilikan lebih menyeluruh melalui pelbagai perkhidmatan, faedah eksklusif dan sokongan selepas jualan.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Mercedes-Benz Cars Malaysia merangkap Ketua Rantau Mercedes-Benz Cars Asia Tenggara, Martin Schulz berkata, jenama itu sentiasa menyesuaikan penawarannya mengikut perubahan gaya hidup dan keperluan pelanggan.

Menurut beliau, konsep FLEX memberi kebebasan kepada pelanggan untuk memilih pelan kewangan yang sesuai dengan kemampuan masing-masing, sekali gus menjadikan pengalaman memiliki Mercedes-Benz lebih mudah dan praktikal.

Agility+ ditawarkan untuk pelbagai model Mercedes-Benz, bermula daripada A-Class sehingga S-Class, termasuk rangkaian prestasi tinggi Mercedes-AMG.

Pelanggan boleh memilih tempoh pembiayaan antara satu hingga lima tahun, dengan pilihan sehingga tujuh tahun bagi pakej tertentu.

Selain itu, mereka juga boleh menentukan had perbatuan tahunan antara 10,000 kilometer hingga 30,000 kilometer, manakala bayaran pendahuluan bermula serendah 10 peratus.

Salah satu ciri utama Agility+ ialah Guaranteed Future Value (GFV), iaitu nilai kenderaan pada masa hadapan ditetapkan sejak awal pembelian. Pendekatan ini membantu mengurangkan komitmen ansuran bulanan berbanding pinjaman konvensional.

Apabila tempoh pembiayaan tamat, pelanggan boleh memilih sama ada menjelaskan baki nilai GFV untuk terus memiliki kenderaan, memulangkannya kepada Mercedes-Benz, atau menggunakan nilai ekuiti tersebut sebagai bayaran permulaan bagi model Mercedes-Benz baharu.

Agility+ turut boleh dipertingkatkan dengan pelbagai manfaat tambahan seperti lanjutan waranti selama setahun, sehingga empat pakej servis berkala, serta MobilityPlus, yang menyediakan kenderaan gantian Mercedes-Benz sekiranya kereta pelanggan berada di pusat servis atau menjalani pembaikan akibat kemalangan melebihi 48 jam.

Bagi pelanggan yang berminat mendapatkan model Mercedes-Benz terpakai yang diperakui, program Young Star Agility+ turut ditawarkan bersama manfaat GFV.

Selain kemudahan pembiayaan, pelanggan Agility+ turut berpeluang menikmati akses kepada pelbagai pengalaman eksklusif Mercedes-Benz seperti Mercedes-Benz Driving Experience, Mercedes-Benz FashionWeek Kuala Lumpur, MercedesTrophy dan program 100,000km Club.

Mercedes-Benz Malaysia juga terus memperkukuh pengalaman pelanggan menerusi kerjasama strategik bersama pelbagai rakan industri, termasuk perkhidmatan pemindahan ke terminal peribadi Malaysia Airlines serta rangkaian lokasi pengecasan EV yang dibangunkan bersama rakan dalam sektor hospitaliti dan gaya hidup.

Kini, rangkaian Mercedes-Benz Malaysia merangkumi 31 pusat jualan dan servis di seluruh negara, yang disokong oleh juruteknik bertauliah bagi memastikan pelanggan menerima pengalaman pemilikan premium sepanjang hayat kenderaan.

Google ads
Back to top button