
MERCEDES-BENZ MALAYSIA, NZ WHEELS RASMI PUSAT SERVIS BAHARU DI KL
Mercedes-Benz Malaysia bersama rakan pengedarnya, NZ Wheels Sdn. Bhd. memperluas kemudahan selepas jualan menerusi pembukaan NZ Wheels KL Northeast Service Centre, yang terletak berhampiran Jalan Genting Klang, Kuala Lumpur.
Pusat servis berkenaan merupakan fasiliti 2S pertama dalam rangkaian NZ Wheels yang menggunakan identiti runcit terkini Mercedes-Benz, dengan penekanan terhadap keselesaan pelanggan, pendigitalan serta pengalaman servis yang lebih lancar.
Pembukaan kemudahan itu turut mencerminkan usaha kedua-dua syarikat untuk mendekatkan perkhidmatan penyelenggaraan dan sokongan selepas jualan kepada pemilik kenderaan Mercedes-Benz di kawasan utara Kuala Lumpur.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Mercedes-Benz Cars Malaysia merangkap Ketua Wilayah Mercedes-Benz Cars Asia Tenggara, Martin Schulz berkata, hubungan syarikat dengan pelanggan tidak terhad kepada penjualan kenderaan, sebaliknya merangkumi komitmen penjagaan sepanjang tempoh pemilikan.
Menurutnya, kerjasama dengan NZ Wheels membolehkan rangkaian selepas jualan terus diperkukuh bagi memastikan pelanggan mendapat akses lebih mudah kepada perkhidmatan dan sokongan diperlukan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Naza Automotive Group, Mohd Rizal Jailan berkata, pembukaan pusat servis tersebut menandakan perkembangan baharu dalam hubungan kerjasama jangka panjang antara NZ Wheels dan Mercedes-Benz Malaysia.
Kemudahan itu dibangunkan dengan mengutamakan keperluan pelanggan, termasuk menyediakan persekitaran yang lebih selesa serta proses servis yang mudah dan teratur.

Melibatkan pelaburan sebanyak RM3 juta, pusat servis berkenaan dibangunkan di atas kawasan seluas 7,127 meter persegi dengan keluasan binaan 2,540 meter persegi. Lokasinya yang berhampiran pusat bandar turut dilengkapi kawasan parkir yang luas.
Di tingkat bawah, pelanggan disediakan ruang menunggu seluas 200 meter persegi dengan kemudahan perabot premium.
Pusat itu turut menawarkan ruang konsultasi mudah alih bagi membolehkan penasihat servis berinteraksi dengan pelanggan secara lebih fleksibel dan telus, selain sistem digital yang menyokong keseluruhan proses penerimaan hingga penyerahan kenderaan.
Bagi operasi penyelenggaraan, bengkel seluas 950 meter persegi dilengkapi tujuh ruang kerja termasuk ruang servis khusus untuk kenderaan kategori Top-End Vehicles (TEV), selain dua ruang pengecasan kenderaan elektrik (EV).

Pusat servis itu juga dijadual menerima pemasangan pengimbas kenderaan berasaskan kecerdasan buatan (AI) pada suku pertama 2027 bagi meningkatkan ketepatan diagnosis serta mempercepatkan tempoh penyelenggaraan.
Operasinya disokong 17 kakitangan selepas jualan dan tiga kakitangan sokongan bagi memastikan pelanggan menerima perkhidmatan sepanjang kunjungan.
Dengan pembukaan fasiliti terbaharu itu, jumlah pelaburan terkumpul NZ Wheels dalam rangkaiannya kini mencecah RM20 juta, termasuk pelaburan RM3 juta bagi pusat servis KL Northeast.
NZ Wheels kini mengendalikan empat lokasi di Klang, Johor Bahru, Bangsar dan Kuala Lumpur Northeast, sekali gus memperkukuh keupayaannya menyediakan sokongan selepas jualan kepada pelanggan Mercedes-Benz di kawasan berkenaan.









