MERCEDES X-CLASS – TRAK PIKAP UNTUK GOLONGAN BANGSAWAN
Pernah bayangkan bagaimana rupanya bila jenama mewah hasilkan trak untuk masuk hutan? Mercedes misalnya?
Jangan skeptik, Mercedes bukanlah pengeluar kereta penumpang dan SUV premium semata-mata. Mereka juga ada divisyen kenderaan berat dan industri.
Lewat malam semalam, Mercedes memperkenalkan model konsep fasa akhir trak pikap mereka. Bukan satu tetapi dua varian yang dipersiapkan untuk pelancaran sepenuhnya pada tahun depan.
Mercedes menyedari ada 2 jenis profil utama pembeli segmen ini. Justeru, mereka memperkenalkan varian Stylish Explorer dan Powerful Adventurer untuk memenuhi 2 keperluan pasaran yang berlainan.
Stylish Explorer direka untuk pengguna bandar. Ia dilengkapi dengan rim aloi berdiameter 22 inci, tayar profil rendah dan ruang dalaman yang lebih mewah. Sementara Powerful Adventurer pula disasarkan kepada penggunaan lasak, badan yang ditinggikan, tambahan cladding badan dengan wheel arch yang lebar serta dilengkapi rim dan tayar “lipan”.
Dikenali dengan nama X Class, model ini akan diperkenalkan dengan varian asas yang dilengkapi enjin pacuan roda belakang (RWD) dengan pilihan pacuan empat roda 4WD. Pilihan enjin termasuklah enjin 4 selinder PETROL (Ya petrol!) dan 4 selinder dan 6 selinder V6 disel.
Kereta konsep yang dipamerkan semalam menampilkan enjin V6 disel yang dipercayai akan menjadi model varian tertinggi bersama pacuan 4WD. Mercedes mendakwa, ia mampu membawa beban sehingga 1.1 tan dan kapasiti tunda sehingga 3.5 tan.
Sejak diwar-warkan pada penghujung tahun lepas, trak X-Class ini cenderung dikaitkan dengan kerjasama Pakatan Renault-Nissan. Lebih tepat; Navara. Setelah model konsep dipertontonkan, kita kena akui yang bentuk Navara hampir tidak kelihatan, kecuali pada kontur sisi, di bahagian pintu belakang.
Mercedes hanya memindahkan keranngka casis sahaja. Malah kesemua sistem suspensi asal telah direka semula dengan sentuhan Mercedes sepenuhnya. Bahagian dalaman lagi lah tak nampak langsung rupa sebuah pikap. Susunan instrumen pada papan pemuka, rekabentuk konsol penghawa dingin, semuanya lambang sebuah Mercedes.
Ia mengingatkan kami pada Aston Martin Cygnet yang direka semula dari Toyota iQ.
X-Class akan ke pasaran pada penghujung 2017. Produksi untuk Eropah, Australia dan Afrika Selatan akan dipasang di kilang Nissan di Barcelona, Spanyol. Bagi pasaran Amerika pula, ia akan dipasang di kilang Renault di Cordoba, Argentina bermula 2018.