Motosikal

SUZUKI SV650A KINI LEBIH MENARIK – RM38,800

Suzuki SV650 mula diperkenalkan pada 1999. Pada ketika itu, kehadirannya menerima sambutan menggalakkan. Legasi SV650 berterusan selama 10 tahun. Kemudian ia digantikan dengan model Suzuki SFV650 Gladius yang lebih moden. 

Kini, pasaran tempatan secara rasmi menerima model Suzuki SV650A. Dengan kehadiran model itu, Suzuki Assembler Malaysia (SAM) dilihat kembali memanaskan enjin mereka setelah lama vakum dalam pasaran tempatan.

Suzuki-SV650A-2016-mekanika5

Model tersebut sudah dilancarkan ke pasaran Eropah sekitar Mac lalu. Beberapa pembaharuan pada SV650A nampak agresif agar ia mampu bersaing dengan Yamaha MT-07 dan Kawasaki ER-6.

Pasaran tempatan menerima dua pilihan warna iaitu Metallic Triton Blue (biru) dan Pearl Mira Red (merah). Suzuki SV650A ditawarkan pada harga jualan asas RM38,800 seunit (tidak termasuk GST).

Berikut ialah lima perkara perlu diketahui tentang SV650A:

Suzuki-SV650A-2016-mekanika3

1) PENGGAYAAN

Gayaan Suzuki SV650A merupakan perkara pertama yang menjadi perhatian kebanyakan penunggang. Bingkai trellis yang menggunakan keluli keras dan kukuh menjadi asas kekuatannya. Lampu bulat klasik pula menjadi identiti SV650A. Garis tangki diperkemas supaya kelihatan lebih menarik. Penampilan ekzos baharu menyumbang kepada berat badan yang lebih ringan. Lampu belakang didatangkan dengan ciri LED.

batch_SV650A - Engine

2) KONSEP TERAS

Konsep utama Suzuki SV650A adalah keseronokan menunggang melalui enjin V-twin sport. SV650A turut  hadir dalam pakej yang lebih ringkas. Model naked itu dilengkapi enjin 645cc V-twin DOHC yang diperhalusi dengan lebih 60 komponen baharu. Penambahbaikan itu menyumbang kepada pertambahan kuasa 4hp (75bhp). Namun, tork masih kekal iaitu 64Nm yang boleh diperoleh seawal 8,100rpm.

Rekaan semula lebih 140 bahagian dan komponen (bahagian enjin dan casis) menyumbang kepada berat lebih ringan menjadi 197 kilogram (kg) berbanding sebelumnya 205kg.

Enjin V-twin menawarkan kuasa pada julat rev rendah, tork linear pada julat-pertengahan dan tunggangan yang lancar sehingga julat rpm tinggi dengan cara yang terkawal. Perubahan berkenaan membolehkan SV650A mencapai standard regulasi emisi Euro4.

Suzuki-SV650A-2016-mekanika8

3) KAWALAN PENGENDALIAN DIPERTINGKATKAN

Suzuki turut menawarkan ciri elektronik yang dikemas kini. Suzuki SV650A dilengkapi ciri baharu iaitu Low RPM Assist yang membantu penunggang ketika memulakan tunggangan dan menunggang pada rpm rendah. Ciri Suzuki Easy Start pula memudahkan operasi menghidupkan enjin.

Ketinggian pelana 785 milimeter adalah antara yang terendah dalam kelasnya, menawarkan pengendalian meyakinkan.

Suzuki-SV650A-2016-mekanika1

4) PANEL INSTRUMEN LCD BAHARU

Suzuki memilih rekaan kluster instrumen LCD baharu yang lebih ringan dan padat. Sekali gus menggantikan penggunaan motor dan jarum mekanikal menyumbang kepada berat terkini 275 gram.

Tahap pencerahan instrumen LCD boleh dilaras. Antara informasi yang ditawarkan ialah speedometer, takometer, odometer, posisi gear, dua meter perbatuan, jarak tunggangan, suhu air, penggunaan bahan api dan jam. Lampu latar putih untuk penglihatan yang baik ketika menunggang waktu malam.

Suzuki juga menggunakan indikator LED pada lampu isyarat, lampu tinggi, Neutral, indikator kerosakan, ABS dan indikator suhu coolant/lampu tekanan minyak.

Ciri takometer berbentuk bar menampilkan fungsi peak-hold. Ia menunjukkan rpm puncak ketika rpm sedang menurun yang membolehkan penunggang mengenalpasti rpm puncak terakhir ketika menukar gear rendah.

Suzuki-SV650A-2016-mekanika7

5) PENJIMATAN

Bahkan, SV650A menawarkan kecekapan bahan api lebih baik dengan catatan di atas kertas 3.84 liter setiap 100 kilometer.

Suzuki bukanlah berada dalam zaman kegemilangannya di Malaysia. Selepas kilang pengeluarannya ditutup baru-baru ini, Suzuki meneruskan perniagaan di pasaran ini menerusi tawaran model-model CBU.

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button