Pandu Uji

MERCEDES-BENZ GLE 400e – BUKTI KEJAYAAN DIRI?

Dalam dunia pemilikan kereta mewah, setiap jenama mempunyai standard, status dan kelompok peminatnya yang tersendiri. Ada yang memilih kereta berdasarkan prestasi, ada yang mementingkan keselesaan dan tidak kurang juga yang melihatnya sebagai simbol pencapaian dalam kehidupan.

Kalau tidak mahu kelihatan terlalu kaya atau menunjuk kemewahan, barisan model Volvo mungkin menjadi pilihan. Kalau mahukan kelajuan dan pengalaman pemanduan yang lebih mengujakan, BMW ada tarikannya. Peminat susah hati JDM pula mungkin lebih cenderung kepada Lexus.

Mercedes-Benz pula mempunyai karakter yang sedikit berbeza dengan menawarkan gabungan prestasi, keselesaan, understated luxury dan prestij sebuah jenama legasi. Mungkin ada jenama lain yang lebih canggih, lebih mewah, lebih berkuasa atau lebih pantas. Tetapi Mercedes-Benz mempunyai satu kelebihan yang sukar ditandingi, iaitu nilai legasi yang sudah melekat sejak sekian lama.

Nak kata harganya terlalu mahal pun tidak juga, sekurang-kurangnya bagi mereka yang mempunyai poket cukup tebal. Mungkin bagi kita rakyat marhaen harga Mercedes Benz GLE 400e ini pada RM 498,000 ini terlalu besar untuk ditelan dan logo tiga bucu Mercedes-Benz pula sudah menjadi impian sesetengah orang sejak dahulu lagi.

Ada nilai sentimental dan pengiktirafan yang datang bersama lambang tersebut.

Kalau sekadar mahu mencilok dan melayan selekoh di laluan Tapah ke Cameron Highlands, Mercedes Benz GLA sebenarnya sudah mencukupi. Dengan saiznya lebih kompak, mudah dikendalikan dan menawarkan pengalaman pemanduan yang lebih lincah. Karakternya juga lebih muda, urban, eksekutif dan menyeronokkan.

Namun GLE berada dalam kelas yang berbeza dengan membawa imej lebih matang, bossy dan menjadi satu bold statement yang anda sudah berjaya dalam hidup. Kalau GLA lebih sesuai dengan eksekutif muda yang masih mahu menikmati keseronokan memandu, GLE pula lebih sinonim dengan golongan pengurusan tertinggi, ahli perniagaan dan decision maker dalam sesebuah organisasi.

Atas sebab itu, GLE tidak perlu terlalu sibuk membuktikan betapa lajunya ia boleh dipandu. Dengan output gabungan sekitar 382 PS dan 650 Nm, kuasa bukanlah sesuatu yang perlu dirisaukan. Ia hanya perlu dipandu dengan elegan dan tertib. Namun kalau keadaan memerlukan, pedal pendikit masih boleh ditekan dengan lebih agresif, khususnya di jalan lurus.

Enjin 4 silinder 2000cc turbo menjana sekitar 252 PS dan 400Nm tork yang dipadankan dengan motor elektrik berkuasa 156 PS dan 440Nm tork. Dengan gabungan mode PHEV, GLE 400e menjana sekitar 382 PS dan 650Nm tork yang dihantar terus kepada semua roda melalui transmisi 9 kelajuan 9G-tronic dan sistem 4Matic pacuan semua roda.

GLE 400e cukup berkuasa untuk memecut dari 0-100 dalam masa 6.1 saat dengan kelajuan maksimum mencecah 210km/h, walaupun dari segi saiz ia boleh dikategorikan sebagai SUV raksasa. Dengan panjang 4924mm, lebar 1947mm, tinggi 1772mm serta dikenakan dengan rim 21 inci, GLE 400e dikelaskan dalam segmen E.

Jika anda biasa dengan rekaan Mercedes, beberapa elemen yang biasa ditemui pada model laian akan turut dipasang pada GLE ini seperti jeriji depan dengan simbol 3 bintang, kemasan hitam berkilat pada bucu bampar dan kemasan krom pada bawah bampar yang melengkapkan pakej AMG Line Exterior selain lampu utama menggunakan Multibeam LED dengan Adaptive High Beam Assist Plus

Ruang kargo di bahagian belakang boleh dibuka dengan menggunakan alat kawalan ataupun menghayunkan kaki di bahagian bawah bampar, menawarkan ruang sebesar 490 liter. Ia kecil sedikit berbanding dengan model 450 kerana komponen sistem hibrid ditempatkan di bahagian ini selain diberikan kemasan ekzos palsu

Cuma sistem plug-in hybrid datang dengan komprominya sendiri kerana penambahan berat bateri dan komponen elektrifikasi menyebabkan GLE 400 e perlu berdepan cabaran fizik yang lebih besar ketika mengambil selekoh dengan berat keseluruhan sistem mencapai 2685kg.

Walaupun penulis sudah memilih Sport Mode yang menjadikan stering dan sistem penyerap hentak lebih keras, ia tetap bukan sebuah SUV yang menggalakkan pemandu memerah setiap inci kemampuannya ketika melayan selekoh secara agresif. Ia kekal dengan DNA sebagai SUV eksekutif yang lebih suka dipandu dengan tenang, sesuai karekter Mercedes

Badan yang besar dan beratnya tetap terasa apabila mula mengubah arah dengan pantas. Ia lebih selesa dibawa dalam rentak yang tenang berbanding dipaksa bekerja keras di jalan berliku. Bukan bermakna GLE 400 e tidak mempunyai kemampuan dinamik, tetapi karakter asasnya memang lebih menjurus kepada keselesaan.

Hakikatnya GLE dibina untuk menyerap permukaan jalan yang menggerutu dan membiarkan pemiliknya pening memikirkan perkara yang lebih besar dalam kehidupan. Syarikat mana yang perlu dibeli selepas ini, bangunan mana yang perlu diambil alih dan dengan siapa perlu menjalinkan hubungan perniagaan.

Ruang dalaman GLE 400e ditawarkan dengan skrin sebesar 12.3″ untuk paparan meter digital pemandu dan skrin sistem MBUX 12.3″ lengkap dengan sambungan tanpa wayar dengan telefon pintar Apple Car Play serta Android Auto yang menawarkan kualiti audio berkualiti tinggi daripada jenama Burmeister 13 pembesar suara

Pada masa sama sistem MBUX dengan Navigation Premium and Augmented Reality menawarkan satu ciri navigasi interaktif, senang digunakan dan mesra dengan jalanraya di Malaysia. Letak saja alamat atau POI, sistem ini akan memandu arah dengan anak panah secara maya di paparan MBUX 12.3 inci

GLE 400e juga dilengkapkan dengan pakej AMG Line interior, kemasan kusyen kuasa elektrik dengan balutan Artico synthetic leather dan Microcut microfibre upholstery selain diberikan ciri pemanasan dan memori, balutan kulit Nappa pada stering, kemasan kayu anthracite pada papan pemuka dan lampu kabin

Selain diberikan bumbung panaromic serta kawalan penyaman udara tersendiri lengkap dengan corong penyaman udara pada tiang B, tirai yang boleh dibuka dan ditutup dengan menggunakan suis dan juga kusyen belakang yang boleh dilipat 40:20:40 untuk membawa muatan panjang

Sambil meneliti laporan perniagaan, pemilik boleh menikmati alunan muzik melalui sistem audio Burmester dengan 13 pembesar suara dimana sistem audio yang nilainya mungkin boleh menyamai ataupun lebih mahal daripada harga sebuah Perodua Axia Rahmah.

Dengan bantuan sistem PHEV, GLE 400 e mampu mencatatkan penggunaan bahan api sekitar 4.5 liter/100 km (22.22km/l) dalam Hybrid Mode dengan halaju tidak melebihi 120km/jam dan pada masa sama ia juga menggunakan 17.9kWh tenaga elektrik

Malah trenkuasa ini menawarkan kombinasi kuasa dan tork yang lebih tinggi berbanding GLE 450 terdahulu yang menggunakan enjin 3.0 liter turbo enam silinder sebaris. Ini menunjukkan bagaimana teknologi elektrifikasi membolehkan enjin berkapasiti lebih kecil menghasilkan prestasi yang cukup mengagumkan, selain menawarkan potensi penjimatan bahan api yang lebih baik.

Akhirnya Mercedes-Benz GLE 400 e bukanlah sebuah SUV yang perlu sentiasa dipandu laju untuk memberikan kepuasan. Ia lebih kepada pengalaman menikmati perjalanan dalam suasana yang tenang, selesa dan penuh prestij.

Kerana pada satu tahap dalam kehidupan, mungkin kita sudah tidak perlu lagi membuktikan siapa paling laju di jalan raya. Ada perkara lain yang jauh lebih penting untuk difikirkan dan GLE 400 e membolehkan kita melakukannya dalam keselesaan sebuah Mercedes-Benz.

Google ads
Back to top button