
GUNA SAJA CERMIN DEPAN GANTI SKRIN – MERCEDES
Mercedes-Benz sedang membangunkan teknologi paparan holografik yang berpotensi mengubah fungsi cermin hadapan kereta menjadi sebuah skrin digital bersaiz besar. Teknologi ini membolehkan pelbagai maklumat dipaparkan terus pada permukaan cermin tanpa memerlukan pemasangan panel skrin fizikal seperti yang digunakan pada sistem infotainmen konvensional.
Teknologi yang dikenali sebagai Holographic Windshield Display ini menggunakan gabungan projektor dan lapisan optik khas yang disepadukan ke dalam cermin hadapan. Projektor akan dipasang pada bahagian papan pemuka dan berfungsi memancarkan cahaya ke arah cermin hadapan.
Lapisan laminasi khas yang mengandungi elemen optik holografik atau holographic optical elements pula akan memantulkan panjang gelombang cahaya untuk menghasilkan imej digital yang boleh dilihat oleh penghuni kabin. Pendekatan ini berbeza daripada sistem Head-Up Display (HUD) konvensional yang biasanya hanya memaparkan maklumat pada kawasan kecil di hadapan pemandu.

Menerusi teknologi baharu tersebut, Mercedes-Benz mahu menggunakan kawasan cermin hadapan yang jauh lebih luas sebagai permukaan paparan. Ini membolehkan lebih banyak maklumat seperti navigasi, panduan perjalanan dan kandungan multimedia dipaparkan tanpa memerlukan skrin tambahan pada papan pemuka.
Satu kelebihan teknologi ini ialah keupayaannya menghasilkan paparan berasingan untuk pemandu dan penumpang hadapan. Walaupun kedua-duanya menggunakan permukaan cermin yang sama, sistem optik tersebut boleh mengawal kandungan berdasarkan sudut pandangan individu.
Sebagai contoh, pemandu boleh melihat maklumat navigasi dan arah perjalanan, manakala penumpang hadapan boleh menikmati kandungan video atau hiburan lain. Sistem ini turut direka dengan mengambil kira aspek privasi supaya kandungan yang dipaparkan khusus untuk penumpang tidak dapat dilihat oleh pemandu.
Pendekatan tersebut membolehkan kedua-dua penghuni hadapan menggunakan permukaan paparan yang sama tanpa mengganggu fungsi masing-masing. Konsep ini juga menyerupai teknologi paparan privasi yang digunakan pada sesetengah sistem infotainmen penumpang hadapan dalam industri automotif.

Mercedes-Benz menyatakan teknologi holografik ini tidak memerlukan skrin fizikal dipasang pada permukaan cermin hadapan. Imej digital hanya akan muncul apabila projektor diaktifkan, manakala cermin kembali kelihatan seperti biasa apabila projektor dimatikan.
Ini bermakna tiada panel paparan tambahan yang sentiasa berada dalam medan penglihatan pemandu dan berpotensi menghalang pandangan ketika memandu. Sistem tersebut juga dibangunkan supaya paparan kekal kelihatan dalam keadaan pencahayaan berbeza, termasuk ketika berhadapan cahaya matahari yang terik.
Ini merupakan aspek penting kerana cermin hadapan sentiasa terdedah kepada perubahan keadaan cahaya sepanjang perjalanan. Keupayaan mengawal pantulan cahaya dan menghasilkan imej yang jelas menjadi antara cabaran utama dalam pembangunan teknologi paparan seperti ini.
Mercedes-Benz bukan satu-satunya pihak yang melihat cermin hadapan sebagai medium paparan digital pada masa depan. Nissan sebelum ini pernah membayangkan konsep yang sama menerusi kenyataan ketua reka bentuknya, Alfonso Albaisa pada 2024. Beliau melihat cermin hadapan berpotensi berubah menjadi sebuah skrin yang mampu menyampaikan pelbagai maklumat kepada penghuni kabin.

Apple juga pernah memfailkan permohonan paten berkaitan teknologi paparan holografik pada cermin hadapan pada 2023. Bagaimanapun pembangunan kereta elektrik oleh syarikat teknologi tersebut akhirnya dibatalkan. Perkembangan ini menunjukkan bahawa idea menggunakan cermin hadapan sebagai permukaan paparan digital bukan sesuatu yang baharu, tetapi pelaksanaannya dalam kenderaan produksi masih memerlukan penyelesaian dari segi teknologi, kos dan keselamatan.
Buat masa ini, Holographic Windshield Display masih berada dalam peringkat penyelidikan dan pembangunan Mercedes-Benz. Syarikat itu belum mengumumkan model produksi yang akan menerima teknologi berkenaan atau tarikh ia bakal diperkenalkan kepada pelanggan.







