Buletin

MINI ELECTRIC RASMI DILANCARKAN. 270KM SEKALI CAJ, RM218,381 SEUNIT

MINI Malaysia hari ini melancarkan model elektrik pertamanya ke pasaran Malaysia. Dikenali sebagai MINI Electric, ia boleh anda miliki pada harga RM218,381 seunit.

Jentera tiga pintu dengan gayaan minimalis itu kelihatan berbeza berbanding model-model MINI yang lain. Namun ia masih memberi penghormatan kepada sejarah jenama MINI yang berusia 60 tahun.

Jentera itu digerakkan oleh motor elektrik yang dibangunkan oleh BMW Group, berkuasa 184hp  dan tork 270 Nm. 

Hasilnya, EV berkenaan mampu mencatat kelajuan maksimm 150km/j dan jarak sejauh 270km (NEDC). 

MINI Electric boleh dicas semula sehingga 80 peratus dalam masa hanya dua jam setengah menggunakan MINI Wallbox Plus.

Ketika memandu, janaan tenaga brek ketika memperlahankan kenderaan disalurkan kepada bateri  bervoltan tinggi. Sistem itu juga membolehkan kereta itu dipandu menggunakan satu pedal sahaja. 

Menjadi MINI pertama yang didatangkan dengan kluster instrumen bersaiz 5.5 inci. Paparan tersebut menawarkan akses lebih lancar ke atas maklumat pemanduan.

Mempunyai saiz yang sama seperti MINI Cooper S, MINI Electric diserlahkan dengan warna kuning warna.

Jentera itu juga menerima bampar dan gril radiator khas berwarna kelabu dan lencana E kuning. Bilah gril hadapan ditawarkan dalam dua warna, sama ada kelabu atau kuning. 

Dengan pakej ‘Lights’, MINI Electric dilengkapi lampu hadapan Matrix LED dan lampu belakang LED bersama rekaan Union Jack yang ikonik.

Di bahagian sisi, ia menampilkan geometri pelitup khas, lencana E dan perumah cermin berwarna hitam atau kuning. Penampilannya diserlahkan lagi dengan rim dua tona bersaiz 17 inci bersama tayar jenis run flat. 

Ruang kabin tampil menarik dengan rekaan fascia kokpit tersendiri, butang start/stp berwarna kuning, tuil gear dan sebagainya. Tempat duduk dibalut kulit berwarna hitam, selain pencahayaan ambien 12 warna iluminasi.

Tidak perlu bimbang dengan ruang kargo kerana ia boleh ditingkatkan menjadi 731 liter apabila diperlukan. 

Sistem navigasi MINI bersama paparan 8.8 inci menawarkan aplikasi MINI Connected yang lengkap. Ini merangkumi Teleservices, Servis Jarak Jauh, Panggilan Kecemasan Pintar, MINI Online dan Apple CarPlay.

Selain head-up display, pemandu boleh menikmati muzik berkualiti premium menerusi sistem bunyi 12 punit pembesar suara Harman Kardon. 

Sebagai sebuah EV, MINI Electric dipasang dengan kluster instrumen digital yang membekalkan pelbagai info penting. Misalnya status pengecasan, jarak operasi, suhu luar kenderaan, mode pemanduan semasa dan sebagainya. 

MINI Electric hadir dalam pilihan warna putih perak, kuning, hijau dan merah. Sudah boleh ditempah dengan bayaran hanya RM1,000 ia bakal berada di semua pengedar MINI bermula hari ini (26 Ogos 2020). 

GALERI

Google ads
Back to top button