Buletin

MINI CONVERTIBLE SIDEWALK EDITION. TERHAD 20 UNIT SAHAJA – RM 286,000

MINI Malaysia memperkenalkan model terbaharu MINI Convertible Sidewalk Edition yang didatangkan secara eksklusif.

Jentera premium yang tergolong dalam kategori The British Marque Car ini menampilkan konsep bumbung terbuka (open-top) dan terhad kepada 20 unit sahaja.

MINI Convertible Sidewalk Edition menawarkan warna biru metalik Deep Laguna ini dijual pada harga RM 285,899.47 dengan pengecualian SST.

Model terbaharu ini menampilkan lampu hadapan LED, lampu LED kabus di depan dan belakang. Di bahagian bonet hadapan pula, terdapat corak geometri yang menyerlahkan penampilan sporty kereta ini.

Didatangkan bersama bumbung MINI Yours Soft-top, model ini memberi perlindungan dari hujan dan matahari.

Bumbung fabrik berwarna hitam 3 dalam 1 yang dikuasakan elektrik menampilkan corak tenunan Sidewalk dalam warna kelabu (Titanium Grey).

Selain itu, bumbung berkenaan boleh dibuka dalam masa 18 saat, walaupun kenderaan sedang bergerak pada kelajuan 30 km/j.

Melengkapkan penampilan MINI Convertible Sidewalk Edition, set roda aloi ringan 17 inci dengan penggayaan dua tona Scissor Spoke.

Bahagian kabin pula, varian ini didatangkan kemasan dalaman Sidewalk Edition, kerusi eksklusif MINI Yours Leather Lounge Sidewalk yang menggunakan bahan antrasit dengan sulaman kontra warna petrol dan kuning (Energetic Yellow).

Ia turut dilengkapi pakej pencahayaan dalaman dengan 12 warna cahaya ambien, termasuk MINI Driving Modes, penyaman udara automatik, tempat duduk penumpang hadapan yang boleh dilaras ketinggiannya serta pakej kompartmen simpanan.

MINI Convertible Sidewalk Edition mendapat khidmat enjin MINI TwinPower Turbo empat silinder berkapasiti dua liter dengan transmisi automatik Steptronic tujuh kelajuan dwi klac.

Jentera ini mampu menjana output maksimum 192 hp dan tork 280 Nm. Ia berupaya memecut dari kelajuan 0 sehingga 100 km/j  dalam masa 7.1 saat dan memiliki kelajuan maksimum mencecah 230 km/j.

MINI Convertible Sidewalk Edition hadir dengan teknologi canggih dalam bentuk Wired Package, terdiri daripada MINI Visual Boost 8.8 inci dengan Sistem Navigasi.

Antara kemudahan lain termasuk komponen Pengecas Tanpa Wayar, MINI Connected, MINI Online, MINI TeleServices dan Bantuan Tepi Jalan.

MINI Convertible Sidewalk Edition akan ditawarkan dalam jumlah unit yang terhad di pusat pengedaran MINI bertauliah terpilih di seluruh negara, serta MINI Online Shop bermula 15 Julai 2020.

Google ads
Back to top button