Motosikal

HONDA VARIO 150 2020. 3 WARNA BAHARU, BREK CBS, SISTEM KUNCI PINTAR. BERMULA RM7,499

Boon Siew Honda hari ini memperkenalkan model naik taraf skuter popularnya, Vario 150 ke pasaran Malaysia.

Skuter itu ditawarkan pada harga RM7,499 dan RM7,699 untuk edisi Repsol. Harga tidak termasuk cukai jalan, insurans dan yuran pendaftaran. Ia hadir dengan jaminan selama dua tahun dan perbatuan sejauh 20,000km (mana-manatiba dahulu).

Jentera itu kini hadir dengan tiga kombinasi warna baharu iaitu perak, hitam dan biru bersama grafik reka bentuk heksagon yang futuristik. Tidak ketinggalan, livery Repsol yang sentiasa mendapat perhatian ramai.

Sedia maklum bahawa skuter itu menampilkan gabungan gayaan sporty dan prestasi mengagumkan. Tidak hairanlah jika ia menjadi pilihan untuk penunggang yang mahukan sebuah jentera AT yang ideal.

Vario 150 dikuasakan oleh enjin 150cc selinder tunggal 4-lejang sejukan cecair yang mampu menjana kuasa mencecah 13.1PS pada 8.500 rpm dan tork 13.4Nm pada 5.000 rpm.

Enjin itu digabungkan dengan teknologi eSP (Enhanced Smart Power) dan Sistem Henti-melahu (Idling Stop System ISS) untuk meningkatkan kecekapan penggunaan bahan api.

Vario 150 turut menawarkan ciri-ciri canggih lain seperti utama LED berkembar, lampu belakang LED, panel meter digital LCD, sistem kunci pintar Honda, peredam bunyi gayaan sport dengan penutup hujung aluminium dan roda sport 14 inci dengan cakera brek berbentuk beralun.

Anda pasti berpuas hati dengan ruang simpanan di bawah tempat duduk berkapasiti 18 liter dan rak berkembar dalaman.

Aspek keselamatan Vario 150 dipertingkat dengan sistem brek gabungan CBS (Combi Brake System). Ia berfungsi mengimbangi daya sistem brek di roda depan dan belakang untuk menawarkan kuasa membrek yang optimum.

Google ads
Back to top button