
MINI JCW 3-DOOR HIGH-PERFORMANCE SERIES UNTUK CHINA, INSPIRASI DUNIA PERMAINAN DAN WARISAN
MINI menerusi subjenama berprestasi tinggi, John Cooper Works (JCW), memperkenalkan MINI JCW 3-Door High-Performance Series untuk pasaran China yang dibangunkan berasaskan MINI JCW 3-Door.
Mengambil inspirasi daripada permainan perlumbaan, model edisi khas ini membolehkan pemilik membuka (unlocking) pelbagai naik taraf rasmi seperti menaik taraf peralatan dalam permainan, sekali gus menghasilkan sebuah JCW yang lebih eksklusif mengikut cita rasa masing-masing.
Ditawarkan pada harga promosi terhad 334,800 yuan (RM202,155), MINI turut menyediakan tiga pilihan “equipment modes” yang membolehkan pelanggan memilih aksesori rasmi untuk meningkatkan penampilan, aerodinamik dan pengalaman pemanduan.
Rekaan inspirasi warisan perlumbaan MINI

MINI JCW 3-Door High-Performance Series tampil dengan gabungan warna baharu Salt Blue bersama bumbung Chili Red yang menjadi identiti utama model ini.
Menurut MINI, padanan warna biru dan merah itu mengingatkan kepada adiwira seperti Superman dan Spider-Man, sekali gus menyerlahkan karakter lincah dan bertenaga yang menjadi identiti JCW.
Warna merah pula bukan sekadar elemen kosmetik, sebaliknya melambangkan sejarah panjang jenama itu dalam dunia sukan permotoran sejak Classic Mini mula mencipta nama di Rally Monte Carlo.
Bumbung Chili Red yang menjadi identiti JCW turut digelar peminat sebagai “little red hat”.
Selain bumbung merah, model ini turut menerima rim perlumbaan Rally Red serta pelekat badan eksklusif yang diinspirasikan daripada grafik kereta lumba klasik.
Corak grafik merah tersebut ditampilkan pada bumbung, badan dan rim, sekali gus menjadikan penampilannya lebih menyerlah.
Bagi memastikan kemasan tersebut kekal terlindung, setiap MINI JCW 3-Door High-Performance Series didatangkan standard dengan lapisan filem perlindungan cat (paint protection film) yang dipasang dari kilang.
Lapisan tersebut melindungi kemasan cat serta pelekat eksklusif daripada kesan penggunaan harian.

Enjin B48 2.0 turbo dengan 231 hp
Di sebalik penampilannya, model ini masih mengekalkan pakej prestasi MINI JCW 3-Door yang menggunakan enjin B48 2.0 liter turbo empat silinder keluaran BMW Group.
Enjin tersebut menghasilkan kuasa maksimum 231 hp dan tork puncak 380 Nm, membolehkan pecutan 0 hingga 100 km/j dicapai dalam tempoh 6.1 saat.
Kuasa disalurkan menerusi transmisi klac berkembar tujuh kelajuan yang dipadankan dengan talaan khas JCW pada sistem rangkaian kuasa dan casis bagi memberikan tindak balas pendikit yang lebih pantas serta pengendalian yang lebih tepat.
Turut disediakan ialah fungsi Launch Control yang membolehkan pemandu memanfaatkan sepenuhnya prestasi ketika memulakan pecutan.
Bagi memastikan prestasi kekal konsisten ketika dipandu secara agresif, MINI turut melengkapkan model ini dengan sistem penyejukan berprestasi tinggi bersaiz lebih besar bagi mengurus suhu operasi enjin dengan lebih berkesan.
Dua pakej naik taraf rasmi

MINI turut menawarkan dua pilihan naik taraf rasmi yang disahkan pengeluar dan dilindungi jaminan selepas jualan.
Pilihan pertama ialah JCW Aerodynamic Package yang memberi penekanan kepada peningkatan aerodinamik serta penampilan lebih agresif.
Pakej tersebut merangkumi enam komponen iaitu:
- Saya Sisi Depan Perlumbaan JCW Hitam Kilat
- Sayap Sisi Belakang Racing JCW Hitam Kilat
- Skirt Sisi
- Difuser Belakang JCW Hitam Kilat
- Kemasan Tiang C
- Spoiler Bumbung JCW
Turut disertakan ialah tali tunda berwarna merah yang menjadi pelengkap kepada imej kereta lumba.
Suspensi talaan JCW

Bagi pelanggan yang lebih mengutamakan pengalaman pemanduan, MINI menawarkan Kit Suspensi Talaan JCW.
Suspensi yang ditala di kilang itu merendahkan pusat graviti kenderaan tanpa mengorbankan keselesaan penggunaan harian.
Hasilnya, sokongan badan menjadi lebih baik, tindak balas lebih pantas ketika pertukaran lorong dan kestabilan lebih tinggi ketika mengambil selekoh.
Sokongan kepada budaya ubah suai

Menurut MINI, pengenalan MINI JCW 3-Door High-Performance Series dibuat selari dengan peningkatan minat terhadap budaya kereta berprestasi tinggi dan ubah suai dalam kalangan pemilik kenderaan.
Model ini bukan sekadar sebuah kereta prestasi, malah dibangunkan sebagai platform yang membolehkan pemilik menambah baik kenderaan mereka menggunakan aksesori rasmi mengikut keperluan masing-masing.
Konsep ini memberi lebih banyak pilihan kepada pemilik untuk mengubah suai JCW mereka selepas pembelian tanpa menjejaskan jaminan dan sokongan selepas jualan rasmi.




















