Buletin

MINI JCW DAREDEVIL, 44 UNIT TERHAD, RIM RALLYE SPOKE

MINI South Africa melancarkan edisi terhad JCW Daredevil yang merangkumi lima versi, termasuk dua varian elektrik.

Edisi khas ini merangkumi MINI John Cooper Works 3-Door Hatch Electric, MINI John Cooper Works Aceman, MINI John Cooper Works Convertible, MINI John Cooper Works 3-Door Hatch dan MINI John Cooper Works Countryman.

Keseluruhannya, hanya 44 unit akan ditawarkan di Afrika Selatan, merangkumi model dengan rangkaian kuasa bateri-elektrik (BEV) dan enjin pembakaran dalaman (ICE).

Edisi ini juga menandakan pengenalan model berprestasi tinggi elektrik pertama MINI di Afrika Selatan, selain debut MINI John Cooper Works Convertible di negara berkenaan.

Rekaan khas Daredevil

Kesemua model Daredevil menggunakan kemasan Midnight Black dengan jalur merah, selain penutup cermin sisi bercorak kotak-kotak merah dan hitam JCW.

Gabungan tersebut memberikan penampilan berinspirasikan litar kepada kelima-lima model berkenaan.

MINI John Cooper Works 3-Door Hatch

MINI John Cooper Works 3-Door Hatch mengekalkan konsep prestasi kompak dengan beberapa komponen khusus Daredevil.

Antaranya ialah:

  • Ekzos AC Schnitzer
  • Difuser bampar belakang AC Schnitzer
  • Sambungan spoiler belakang John Cooper Works Chilli Red
  • Kemasan tiang-C JCW
  • Sayap JCW di bahagian hadapan, sisi dan belakang
  • Rim 18-inci Rallye Spoke

Model ini menggunakan enjin petrol empat silinder 2.0 liter dengan teknologi TwinPower Turbo yang menghasilkan 231 PS dan 380Nm tork.

Kuasa disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi Steptronic tujuh kelajuan.

Pecutann 0-100 km/j memerlukan 6.1 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.

MINI John Cooper Works Countryman

MINI John Cooper Works Countryman pula menggabungkan badan lima pintu dengan sistem pacuan semua roda.

Model ini dikuasakan oleh enjin petrol empat silinder 2.0 liter TwinPower Turbo dan dipadankan dengan transmisi Steptronic tujuh kelajuan.

Trenkuasa ini menghasilkan 317 PS dan 400Nm tork.

Ia mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 5.4 saat dengan kelajuan maksimum 250 km/j.

Model ini dilengkapi brek hadapan monoblok empat omboh jenis tetap, stereng kuasa elektrik, serta casis berorientasikan prestasi.

Penampilan luaran diperkemas dengan spoiler bumbung JCW kemasan hitam berkilat.

MINI John Cooper Works Electric

Model tiga pintu ini menghasilkan 258 PS (190 kW) dan 350Nm, dengan jarak pemanduan sehingga 400 km.

Jentera ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 5.9 saat dengan kelajuan maksimum 200 km/j.

Sistem pengecasan DC menyokong sehingga 95 kW dengan pengecasan dari 10 hingga 80 peratus dicapai sekitar 30 minit.

Selain itu, ia turut menyokong pengecasan AC 11 kW dengan kadar 0 hingga 100 peratus AC mengambil masa sekitar lima jam.

Model ini turut menerima teknologi casis pintar, brek cakera berpengudaraan dan stereng kuasa elektrik.

Rim 18-inci pula melengkapkan penampilan dinamiknya.

MINI John Cooper Works Aceman

MINI John Cooper Works Aceman menggunakan rangkaian kuasa elektrik yang sama dengan output 258 PS (190 kW) dan 350Nm.

Model ini lebih praktikal dengan badan lima pintu.

Kuasa dihantar ke roda hadapan dan membolehkannya mencapai 0-100 km/j dalam 6.4 saat, dengan kelajuan maksimum 200 km/j.

Ia menawarkan jarak pemanduan sehingga 380 km, manakala pengecasan DC sehingga 95 kW.

Bateri boleh dicas daripada 10 hingga 80 peratus dalam kira-kira 30 minit.

Model ini turut dilengkapi dengan casis khusus model, brek cakera berpengudaraan, rim 19-inci, serta pacuan elektrik roda hadapan.

Kedua-dua model BEV Daredevil menerima bumbung multitone merah dan hitam yang eksklusif untuk varian elektrik.

Model ini turut dilengkapi dengan cermin sisi JCW berwarna merah dan hitam.

Bahagian belakangnya pula dipadankan dengan difuser udara.

MINI John Cooper Works Convertible

MINI John Cooper Works Convertible membuat kemunculan pertama di Afrika Selatan menerusi edisi ini.

Ia dikuasakan enjin empat silinder 2.0 liter TwinPower Turbo yang menghasilkan 231 PS dan 380Nm tork.

Kuasa dihantar ke roda hadapan melalui transmisi Steptronic tujuh kelajuan.

Model ini mampu memecut 0-100 km/j dalam 6.4 saat dan mencapai kelajuan maksimum 245 km/j.

Dengan panjang 3,879 mm, Convertible menyediakan tempat duduk untuk empat penumpang.

Kapasiti ruang bagasi pula mencecah sehingga 215 liter bergantung kepada kedudukan bumbung fabrik.

Sistem suspensi menggunakan gandar hadapan single-joint strut dan gandar belakang pelbagai pautan

Sebagai model Daredevil, ia turut menerima rim 18-inci Rallye Spoke serta sayap khusus di bahagian hadapan dan sisi.

Harga dan jumlah unit

Edisi MINI John Cooper Works Daredevil mula ditawarkan di Afrika Selatan pada Julai 2026.

Keseluruhannya, hanya 44 unit diperuntukkan untuk pasaran tersebut.

Harga termasuk VAT dan cukai CO2 adalah seperti berikut:

  • MINI John Cooper Works Electric – 8 unit: R994,200 (RM251,135)
  • MINI John Cooper Works Aceman – 8 unit: R1,098,700 (RM277,532)
  • MINI John Cooper Works Convertible – 8 unit: R976,309.80 (RM246,616)
  • MINI John Cooper Works Hatch – 10 unit: R907,074 (RM229,127)
  • MINI John Cooper Works Countryman – 10 unit: R1,126,267.80 (RM284,495)

Nota: Gambar tidak mengikut susunan model

Google ads
Back to top button