Buletin

MINIVAN SUZUKI SPACIA DILANCARKAN DI JEPUN – HARGA BERMULA RM48,400 SEUNIT

Suzuki secara rasmi sudah tutup kedai di Malaysia. Namun, ia masih lagi pemain industri yang penting di Jepun terutama dalam segmen kei-kar.

Jadi tidak hairanlah jika Suzuki masih aktif memperkenalkan jentera baharu. Terkini ialah model minivan yang dikenali sebagai Spacia dan Spacia Custom. 

Spacia ditawarkan pada harga bermula ¥1,333,800 (RM48,400) hingga ¥1,908,360 (RM69250) seunit, bergantung kepada spesifikasi.

Kelihatan lebih kecil berbanding Toyota BB atau Nissan Cube, ia kini hadir dengan lebih banyak sistem keselamatan iaitu Suzuki Safety Support. Semua varian Spacia dilengkapi sistem mitigasi pelanggaran untuk bahagian hadapan dan belakang.

Ini termasuklah ciri Dual Sensor Brake Support (DSBS) dan Back-up Brake Support yang pertama kali dipasang pada model segmen ini.

Selain itu, sistem pemantauan sekeliling kenderaan head-up display (HUD) dan 3D View pula memberikan pemandu melihat Spacia dari 360 darjah. 

Kei-kar ini digerakkan oleh enjin bersesaran 660cc, sama ada dalam bentuk aspirasi biasa atau turbo, bersama pacuan roda hadapan atau semua roda (AWD). Suzuki turut menawarkan varian hibrid untuk Spacia yang didakwa mampu mencapai penggunaan bahan api sekitar 30.0km/l.

Walaupun kompak, Spacia menawarkan ruang kabin yang luas dan mesra pengguna. Aspek itu dipertingkatkan menerusi pintu gelungsur di kedua-dua sisi, lantai rendah dan bumbung tinggi.

Pelanggan boleh memilih di antara Spacia yang tampil dengan rekaan retro atau Spacia Custom yang lebih agresif. Suzuki mensasarkan untuk menjual 12,000 unit Spacia sebulan.

GALERI

Google ads
Back to top button