
NAZA EASTERN MOTORS RASMI PUSAT JUALAN SUZUKI BAHARU DI JURU
Naza Eastern Motors, pengedar rasmi kenderaan Suzuki di Malaysia, terus memperkukuh kedudukannya di wilayah utara menerusi pembukaan pusat jualan Suzuki Juru yang terletak di lokasi strategik di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Premis baharu yang dikendalikan oleh SMG Auto (MN) Sdn Bhd itu melibatkan pelaburan bernilai RM1 juta, termasuk penyediaan unit pameran dan kenderaan pandu uji.
Pembukaan pusat jualan itu dijangka memudahkan pelanggan di kawasan Juru, Bukit Mertajam serta kawasan sekitarnya mendapatkan akses kepada model-model terkini Suzuki dengan lebih mudah.

Ruang pameran berkeluasan 1,600 kaki persegi itu mampu memuatkan tiga unit kenderaan untuk dipamerkan pada satu-satu masa. Selain itu, pelanggan turut disediakan ruang menunggu yang selesa bagi meningkatkan pengalaman ketika berkunjung ke pusat jualan berkenaan.
Sebagai sebuah pusat jualan kategori 1S, Suzuki Juru memberi tumpuan kepada urusan jualan dan khidmat perundingan kenderaan.
Bagi keperluan servis dan penyelenggaraan, pelanggan boleh mendapatkan perkhidmatan di pusat servis Suzuki Bayan Lepas yang terletak di Jalan Sungai Tiram 7, Pulau Pinang.
Ketua Pegawai Eksekutif Naza Automotive Group, Mohd Rizal Jailan berkata, pembukaan pusat jualan baharu itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan syarikat untuk mengembangkan rangkaian Suzuki di Malaysia.

Menurut beliau, kawasan Juru dan Bukit Mertajam mempunyai kepentingan strategik berikutan pertumbuhan penduduk yang pesat serta rangkaian perhubungan yang baik, sekali gus menawarkan potensi besar untuk memperluaskan kehadiran jenama tersebut.
“Pelaburan ini menunjukkan keyakinan kami terhadap pasaran tempatan dan komitmen untuk membawa produk Suzuki lebih dekat kepada pelanggan,” katanya.
Dengan pembukaan Suzuki Juru, Suzuki kini mempunyai 14 pusat jualan sah dan 13 pusat servis di seluruh negara.
Dalam pada itu, Naza Eastern Motors turut memperkenalkan SUZUKI CARe, sebuah program pemilikan komprehensif yang menggabungkan perlindungan insurans Suzuki Protect bersama bantuan tepi jalan.

Program Suzuki Protect menawarkan perlindungan insurans motor khas untuk pemilik Suzuki dengan pelbagai manfaat tambahan, termasuk perlindungan berdasarkan nilai yang dipersetujui bagi kenderaan sehingga 12 tahun, pengecualian caj betterment sehingga 10 tahun, perlindungan bencana khas, perkhidmatan tunda tanpa had, penggunaan alat ganti tulen serta perlindungan kemalangan diri untuk pemandu dan penumpang.
Program tersebut ditawarkan untuk model-model Suzuki yang dijual melalui rangkaian pengedar sah Suzuki dan diunderait oleh Zurich General Takaful Malaysia Berhad.
Menurut Rizal, SUZUKI CARe diwujudkan bagi memberikan ketenangan minda kepada pelanggan melalui gabungan perlindungan insurans dan bantuan kecemasan yang lebih menyeluruh sepanjang tempoh pemilikan kenderaan.
Beliau turut memaklumkan bahawa talian bantuan khas SUZUKI CARe di nombor 1800-888-700 sedang melalui proses integrasi sistem dan akan diumumkan kepada pelanggan sebaik sahaja ia beroperasi sepenuhnya.
Pusat jualan Suzuki Juru beroperasi setiap hari dari jam 9 pagi hingga 6 petang dan menawarkan peluang kepada pelanggan untuk melihat dengan lebih dekat rangkaian model Suzuki terkini serta mendapatkan khidmat nasihat daripada tenaga jualan yang terlatih.







