
SELAMAT TINGGAL SUZUKI SV650 SELEPAS 27 TAHUN
Suzuki akhirnya mengucapkan selamat tinggal kepada SV650 selepas 27 tahun dan ucap selamat datang kepada SV-7S baharu.
SV650 merupakan antara model paling berjaya Suzuki sejak generasi pertama diperkenalkan pada 1999. Kilang Hamamatsu kemudiannya melancarkan generasi kedua pada 2003 yang dinaik taraf dengan sistem suntikan bahan api dan kerangka aluminium.
Kemudian antara 2009 hingga 2016, Suzuki menamakan SV650 kepada SFV650 Gladius untuk beberapa pasaran dunia sebelum kembali dengan nama SV650 pada 2017.

Meskipun populariti SV650 bertahan lama namun peraturan emisi Euro 5 kemudiannya Euro 5+ memaksa Suzuki untuk menghentikan pengeluaran SV650 sepenuhnya.
Selain Suzuki, turut terkesan dengan peraturan emisi adalah Yamaha. Kegagalan menaik taraf enjin untuk memenuhi kehendak emisi menyaksikan Yamaha menghentikan sepenuhnya model ikonik seperti YZF-R1 dan R6.
Namun begitu, Suzuki tidak menyerah sebaliknya mengemas kini enjin V-Twin 645cc tersebut yang telah pun membuat debut pada model SV-7GX, November tahun lalu. Model tersebut turut hadir dengan ride-by-wire throttle, mod menunggang dan quickshifter.
Pelancaran SV-7GX menjadi klu bahawa SV650 akan terus hidup dan hasilnya Suzuki melancarkan SV-7S di EICMA baru-baru ini.

Meskipun tidak lagi membawa nama SV650 namun SV-7S tetap membawa DNA SV650 namun dengan ciri dipertingkat yang terdapat pada SV-7GX termasuk traction control dengan tiga tetapan. Fungsi Low RPM Assist turut dibawa dari SV650.
SV-7S juga hadir dengan tiga mod, Active, Basic dan Comfort. Suzuki mendakwa mod Basic mempunyai persamaan dengan respon throttle pada SV650. Atas kertas, SV-7S menawarkan 72hp pada 8,500rpm dan 64Nm pada 6,800rpm.
Banyak naik taraf yang Suzuki lakukan pada ruangan enjin antaranya mengurang geseran dan meningkatkan ketahanan piston dengan rawatan electrochemical. Gear transmisi dan magneto juga telah dinaik taraf.

Ketika Ducati tidak lagi mengguna pakai kerangka trellis pada generasi terbaru Monster, Suzuki pula memastikan ciri tersebut dibawa pada SV-7S. Menariknya, SV-7S turut menawarkan dimensi yang sama seperti SV650 termasuk berat 200kg.
Bagaimanapun, handelbar lebih lebar dengan pertambahan 11.5mm bagi memastikan tunggangan SV-7S lebih mesra untuk setiap jenis penunggang. Ketinggian tempat duduk juga kekal dengan 785mm sementara tangki juga boleh memuatkan 14L minyak.

Sementara itu, SV-7S memanfaatkan skrin TFT dengan sambungan telefon pintar bagi mengakses ciri turn-by-turn navigation. Sentuhan moden lain termasuk lampu LED berbentuk bulat yang dipinjamkan dari GSX-8T.









