
Suzuki GSX-8TT pasaran United Kingdom (UK) menerima pilihan warna baharu Candy Daring Red bagi model tahun 2027.
Motosikal retro moden itu dibina berasaskan platform 800cc Suzuki dan menampilkan reka bentuk yang mendapat inspirasi daripada GS1000S.
Pilihan Candy Daring Red menampilkan kemasan merah pada bahagian nose cone, tangki minyak dan pelana.
Cowling serta tangki minyak pula dihiasi grafik jalur emas dan hitam, manakala grafik nama model pada pelana menggunakan warna sama.

Warna emas turut digunakan pada rim, sementara radiator shroud, pelindung lumpur dan lower cowling hadir dalam warna hitam.
Lagi pilihan warna untuk pasaran UK ialah Glass Sparkle Black dan Pearl Mat Shadow Green dan kedua-duanya turut ditawarkan di Malaysia.
Enjin dan Prestasi

GSX-8TT menggunakan enjin dua silinder selari berkapasiti 776cc yanag menghasilkan 83PS pada 8,500 rpm dan tork maksimum 78Nm pada 6,800 rpm.
Sistem elektronik pula merangkumi skrin TFT berwarna, mod kuasa boleh dipilih, tetapan kawalan cengkaman dan quickshifter dua hala.
Kapasiti tangki minyak ialah 16.5 liter dan di atas kertas boleh digunakan sehingga 393km. Berat motosikal ialah 203kg.
Suspensi dan Brek

GSX-8TT dilengkapi suspensi depan KYB jenis teleskopik terbalik dan suspensi belakang KYB boleh laras, kedua-duanya dengan gerakan 130mm.
Sistem brek depan menggunakan angkup Nissin dengan cakera berkembar, dan angkup satu omboh dengan cakera tunggal di belakang.
Motosikal ini dipasangkan tayar depan bersaiz 120/70ZR17M/C (58W) dan tayar belakang 180/55ZR17M/C (73W), kedua-duanya jenis tanpa tiub.
Harga
Di UK, Suzuki GSX-8TT ditawarkan pada harga £8,999 (RRP) atau bersamaan kira-kira RM48,591.















