Advertisements
Motosikal

SUZUKI GSX-10R, SUPERBIKE UNTUK SEMUA – 150HP, 106NM

Setiap pengeluar motosikal jenis superbike masa kini akan memastikan model masing-masing dilengkapi dengan pakej terbaik dari segi kelengkapan, komponen dan elektronik. 

Hasilnya, superbike moden bukan hanya hadir dengan kuasa melebihi 200hp malah harga yang tidak masuk akal. 

Sehinggalah Suzuki mengambil langkah yang berlainan dengan memperkenalkan GSX-10R, sebuah superbike yang lahir dari DNA GSX-R namun diletakkan dalam pakej yang lebih mampu milik. 

GSX-10R ini mengguna pakai kerangka sama yang terdapat pada GSX-S1000, GSX-S1000GT, GSX-S1000GX dan Katana namun dipadankan bersama subframe baharu bagi mewujudkan gaya menunggang yang lebih agresif. 

Enjin

Elemen penting pada GSX-10R ini adalah penggunaan enjin K5 dari GSX-R1000 2005 yang dikenali sebagai enjin superbike terbaik pernah dihasilkan Suzuki. 

Keputusan Suzuki untuk menggabungkan rekaan long-stroke enjin tersebut dengan ciri moden termasuk ride-by-wire dan teknologi lain secara langsung mewujudkan sebuah superbike yang lebih praktikal. 

Hasilnya, GSX-10R menawarkan 150.2hp pada 11,000rpm dan 106Nm pada 9,250rpm yang terhasil dari enjin empat silinder 999cc DOHC. 

Casis

Meskipun angka kuasa dihasilkan itu sama dengan GSX-S1000 namun penggunaan handlebar jenis clip-on dan footpeg yang tinggi menghasilkan pengalaman menunggang yang lebih sporty dan agresif. 

Namun begitu, GSX-10R ini agak berat dengan 214kg, 19kg lebih berat dari Yamaha YZF-R9. 

Ketinggian tempat duduk GSX-10R ini juga adalah 15mm lebih rendah dari GSX-R1000R dengan 810mm namun kedudukan tempat duduk, handlebar dan pemijak kaki masih mewujudkan ergonomik sebuah superbike.

Menariknya, kesemua faktor ini menyumbang kepada kemampaun GSX-10R mencapai ‘lean-angle’ sebanyak 53-darjah. Untuk perbandingan, GSX-S1000 hanya mampu mencapai lean-angle sebanyak 48-darjah. 

Pakej suspensi dan brek juga dipinjamkan terus dari GSX-S1000 yang terdiri dari fork KYB 43mm boleh laras dan monoshock belakang dengan pelarasan compression damping serta rebound dan preload.

Brek pula dibekalkan Brembo dengan kaliper brek radial empat piston di hadapan yang dipadankan bersama radial master cylinder. Suzuki turut melengkapkan GSX-10R ini dengan steering damper. 

Elektronik

Walaupun GSX-10R ini dikuasakan unit yang telah berusia 20 tahun namun model baharu ini dilengkapi dengan pakej elektronik moden termasuk 6-axis IMU yang menawarkan cornering ABS dan cornering traction control, wheelie control dan tiga mod menunggang. 

Lebih menarik, Suzuki turut memperkenalkan sistem slide contro dan brake hold controll buat julung kalinya. Ciri ini juga ditawarkan secara standard. Ride-by-wire juga menyaksikan adanya bi-directional quickshifter. 

Reka bentuk 

Rupa bentuk GSX-10R ini jelas mengambil inspirasi dari GSX-R1000. Menurut Suzuki, winglet di hadapan itu bukan hanya untuk tujuan perlumbaan namun turut berfungsi sebagai mengurangkan rintangan angin sewaktu tunggangan harian mahupun kembara (touring).

Penggunaan tangki 18L (6-liter lebih besar dari Katana) juga mengurangkan kekerapan mengisi minyak.

Persoalan utama

Ketika berada di EICMA, kami bersama media antarabangsa lain tertanya-tanya di manakah Suzuki memposisikan GSX-10R ini?

Kami difahamkan, GSX-10R ini mengembailkan idea sebuah superbike yang bukan direka untuk tujuan perlumbaan semata-mata tetapi juga praktikal untuk kegunaan di jalan raya. 

Idea sama turut diterapkan pada era 80an dan 90an bagi model seperti Honda CBR900RR Fireblade, Kawasaki ZX-9R dan Suzuki GSX-R1100. 

GALERI: SUZUKI GSX-10R 2027

Google ads
Back to top button