
JUALAN KERETA CECAH 63,489 UNIT BULAN LALU
Industri automotif tempatan menyaksikan lantunan sihat apabila jumlah keseluruhan industri (TIV) kembali melonjak kepada 63,489 unit pada Mac 2026, meningkat 21 peratus berbanding 52,414 unit pada Februari, sekali gus mencerminkan pemulihan kukuh bulan ke bulan.
Menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA), peningkatan itu mencerminkan pemulihan sihat dalam permintaan selepas prestasi lebih sederhana pada bulan sebelumnya, sekali gus memberi isyarat positif kepada industri automotif tempatan.
Namun begitu, TIV bagi bulan berkenaan masih mencatatkan penurunan kepada 63,489 unit berbanding 72,931 unit pada bulan sama tahun lalu, iaitu susut 13 peratus secara tahunan.
Bagi segmen kenderaan penumpang (PV), jualan pada Mac 2026 berjumlah 59,498 unit berbanding 68,375 unit pada Mac 2025, menyusut 13 peratus.
Segmen kenderaan komersial (CV) turut merekodkan penurunan dengan jualan sebanyak 3,991 unit berbanding 4,556 unit pada tempoh sama tahun lalu, iaitu susut 12 peratus.
Dari sudut pengeluaran, jumlah keseluruhan industri pada Mac 2026 merosot kepada 48,129 unit berbanding 58,063 unit pada Mac 2025, mencatatkan penurunan 17 peratus.
Menurut MAA, pengeluaran kenderaan penumpang direkodkan sebanyak 45,000 unit berbanding 55,301 unit sebelumnya, susut 19 peratus, manakala kenderaan komersial meningkat kepada 3,129 unit daripada 2,762 unit, naik 13 peratus.
Bagi tempoh kumulatif Januari hingga Mac, jumlah jualan industri mencapai 182,113 unit berbanding 188,432 unit pada tempoh sama tahun lalu, menurun 3.0 peratus.
Dalam tempoh sama, jualan kenderaan penumpang mencecah 170,511 unit berbanding 176,714 unit, susut 4 peratus, manakala kenderaan komersial merekodkan 11,602 unit berbanding 11,718 unit, turun 1 peratus.
MAA menjelaskan, prestasi sederhana pada Mac 2026 sebahagian besarnya dipengaruhi oleh musim perayaan Hari Raya, termasuk cuti tambahan yang diumumkan pada 20 Mac 2026.
Selain itu, beberapa pengeluar turut melaksanakan penutupan sementara kilang sempena tempoh perayaan, sekali gus menjejaskan tahap pengeluaran dan bekalan kenderaan ke pasaran.
Bagi prospek April 2026, MAA menjangkakan jualan kenderaan akan kembali stabil dengan aktiviti pasaran yang diunjur menyederhana selepas berakhirnya musim perayaan. – Berita Harian
- BACA: MITSUBISHI DELICA D:5 LARIS DI JEPUN SAMPAI PECAH REKOD BERTAHUN!
- BACA: SIME MOTORS UMUM PEMENANG HADIAH UTAMA BMW 2 SERIES DI KEMUNCAK KEMPEN ULANG TAHUN KE-45
- BACA: CHERY BAKAL UMUM HALA TUJU BAHARU DI AUTO CHINA 2026, FOKUS MOBILITI KELUARGA DAN EKOSISTEM PINTAR
- BACA: ZEEKR 8X DILANCARKAN DI CHINA – SUV PHEV 1,381HP, JARAK GERAK SEHINGGA 1,416KM




