
MITSUBISHI OUTLANDER PHEV BLACK EDITION, TAMPIL LEBIH GARANG GAYA HITAM
Mitsubishi Outlander PHEV merupakan model perdana Mitsubishi Motors dan mencipta sejarah sebagai SUV 4WD plug-in hybrid pertama di dunia sejak diperkenalkan pada tahun 2013.
Model generasi kedua yang diperkenalkan pada 2021 membawa falsafah rekaan Majestic, sebelum menerima kemas kini besar pada Oktober 2024.
Model itu menerima bateri baharu bagi meningkatkan jarak pemanduan EV dan prestasi pecutan, selain rekaan dalaman serta luaran.
Penambahbaikan lain termasuk sistem navigasi 12.3 inci, pengudaraan tempat duduk serta sistem audio hasil kerjasama dengan Yamaha Corporation yang kini menjadi kelengkapan standard bagi semua varian.
Berteraskan model ini, Mitsubishi memperkenalkan edisi khas Outlander PHEV BLACK Edition dengan kemasan hitam eksklusif pada bahagian luaran dan dalaman.
Rekaan Luaran Serba Hitam Lebih Premium dan Berkuasa
Outlander PHEV BLACK Edition dibangunkan berasaskan varian tertinggi P Executive Package dan menerima pelbagai sentuhan hitam berkilat bagi menyerlahkan imej lebih eksklusif.
Di antaranya rel bumbung hitam berkilat, rim aloi 20 inci, skid plate hadapan dan belakang, serta cermin sisi boleh lipat elektrik.
Bahagian hadapan tampil lebih garang dengan jeriji, Dynamic Shield, bezel lampu kabus dan bezel lampu utama dalam kemasan hitam.
Logo tiga berlian Mitsubishi serta lencana nama model menggunakan tona gelap, manakala kemasan sekeliling tingkap diperbuat daripada keluli tahan karat hitam, sekali gus memberikan gaya yang lebih kemas dan berkarakter.
Kabin Hitam Eksklusif Dengan Jahitan Perak

Bahagian dalaman pula berasaskan spesifikasi warna hitam dan dipertingkat dengan tempat duduk kulit semi-aniline hitam yang eksklusif untuk varian P Executive Package.
Jahitan perak digunakan pada tempat duduk, panel atas papan pemuka serta kemasan pintu, menghasilkan suasana kabin yang lebih kemas dan berkualiti tinggi.
Pilihan Warna Badan
Outlander PHEV BLACK Edition ditawarkan dalam lima pilihan warna badan, terdiri daripada tiga warna dua tona dengan bumbung Black Mica iaitu Graphite Gray Metallic, White Diamond dan Red Diamond, selain dua warna satu tona iaitu Black Diamond serta Graphite Gray Metallic.
Harga Rasmi Mitsubishi Outlander PHEV BLACK Edition
Varian lima tempat duduk ditawarkan pada harga ¥6,735,300 atau sekitar RM175,050, manakala varian tujuh tempat duduk pula berharga ¥6,826,600 atau sekitar RM177,420.
Model ini akan mula dijual di Jepun pada 5 Februari 2026.
Spesifikasi Mitsubishi Outlander PHEV BLACK Edition
Enjin petrol
- Enjin: 4B12 (MIVEC) 2,359cc
- Kuasa maksimum: 131 hp @ 5,000 rpm
- Tork maksimum: 195Nm @ 4,300 rpm
- Kapasiti tangki bahan api: 53 liter
Motor elektrik
- Motor hadapan / belakang: S91 / YA1
- Kuasa berkadar (hadapan / belakang): 40 kW / 40 kW
- Kuasa maksimum (hadapan / belakang): 85 kW / 100 kW
- Tork maksimum (hadapan / belakang): 255 Nm / 195 Nm
Bateri & pemanduan elektrik
- Jenis bateri: Litium-ion
- Voltan keseluruhan: 355 V
- Kapasiti tenaga: 22.7 kWj
- Jarak pemanduan elektrik: 102 km (WLTC)










