Buletin

MITSUBISHI DELICA MINI DAN D:5 BAKAL JADI BINTANG DI TOKYO AUTO SALON 2026

Mitsubishi bakal mencuri tumpuan di Tokyo Auto Salon 2026 dengan pameran besar-besaran berfokus pada Delica Mini dan Delica D:5 yang telah menerima facelift, lengkap dengan sentuhan pengubahsuaian.

Walaupun spekulasi tentang kepulangan Pajero semakin hangat selepas teaser terbaru, jenama itu memilih untuk berdiam diri buat masa ini, dan sebaliknya menumpukan perhatian kepada apa yang mereka gelar sebagai “Delica Festival.”

Yang paling mencuri perhatian pengunjung pastinya maskot rasmi kei-car, Delimaru, yang menghiasi bumbung Delica Mini.

Versi konsep “Delimaru Festa” tampil dengan kombinasi warna hitam, putih, dan merah serta roda retro yang menyerlahkan karakter agresif namun comel kenderaan itu.

Selain itu, konsep “Ultimate Gear” bagi kedua-dua model Delica menampilkan rupa yang lebih lasak dan sedia untuk segala medan.

Ia menampilkan kemasan hitam matte pada cladding dan bahagian belakang, corak dua tona yang berani, bull bar, roda gaya beadlock dengan tayar off-road, kit lift, serta bumbung lengkap dengan lampu LED—semuanya menonjolkan sisi pengembaraan.

Versi “Active Camper” pula memfokuskan perlengkapan perkhemahan. D:5 dibalut dengan corak kayu putih birch, kabin coklat, bumper pelindung hadapan, roda off-road berketul, dan awning.

Delica Mini pula dilengkapi lebih banyak gear perkhemahan termasuk bumbung pop-up, lampu LED, mud flap, skid bar kompak dan awning sisi boleh alih.

Sementara, konsep “Wild Adventure Style” lebih dekat dengan apa yang boleh dibeli oleh pengguna Jepun. D:5 menampilkan roof carrier, mud flap, dan skid plate belakang daripada keluli tahan karat, manakala Mini tampil dengan pelekat kamuflaj, roof rack kecil, dan mud flap merah.

Satu lagi tarikan ialah Delica Mini yang menerima Dali styling kit oleh pengubah suai Jepun, Damd. Kei-car ini mendapat gril dan lampu hadapan bulat yang diinspirasikan daripada Pajero klasik, disertai decal tersuai, bakul bumbung, dan rim aftermarket.

Di bahagian sukan permotoran, Ralliart Triton AXCR yang menjuarai Asia Cross Country Rally 2025 menjadi tumpuan, lengkap dengan kenderaan sokongan Delica D:5 ACXR dan Delica Mini edisi khas dengan livery Tomica sempena ulang tahun ke-55.

Masih ada harapan bahawa sidang media Mitsubishi di Makuhari Messe pada 9 Januari akan membuka tirai mengenai Pajero, termasuk menyingkap identiti prototaip SUV yang muncul dalam video ulang tahun baru-baru ini.

Google ads
Back to top button