
BYD SEAL 6, EV KOMPETITIF DALAM KELASNYA.
BYD hari ini berada di fasa yang sangat menarik dan dramatik. Ketika kebanyakan pengeluar EV masih terkunci dalam formula selamat iaitu dalam bentuk SUV dan crossover berkuasa elektrik, BYD berani mengambil pendekatan berbeza dengan membawa masuk sedan elektrik ke pasaran arus perdana.
Bukan 1 tapi melalui 2 model iaiatu BYD Seal dan BYD Seal 6 yang wujud bukan sebagai eksperimen, tetapi sebagai sebahagian daripada strategi besar BYD untuk menjadi jenama EV serba lengkap. Dengan pelbagai model seperti hatchback, sedan, crossover, SUV premium, MPV hinggalah ke pikap, BYD kini kelihatan menjadi jelmaan Toyota tetapi versi era elektrifikasi.
BYD Seal 6 ialah bukti bahawa syarikat automotif ini bukan sekadar mahu menjual EV, tetapi mahu menggantikan kereta konvensional dalam kehidupan seharian pengguna.

Keberanian sebenar BYD Seal 6 bukan terletak pada spesifikasi, tetapi pada rekaannya daripada luar dan juga kabin. Dalam pasaran seperti Malaysia yang masih skeptikal terhadap EV, rupa bentuk boleh menjadi penentu sama ada seseorang itu sudi memberi peluang kepada EV atau terus berpaling.
BYD jelas memahami perkara ini selepas menjual 4.3 juta unit EV secara global pada tahun 2024. Rekaan depan Seal 6 tidak cuba kelihatan pelik, kelihatan futuristik keterlaluan atau sarat dengan elemen eksperimen. Ia ringkas, kemas dan kelihatan seperti sedan normal, dalam erti kata yang sangat positif.
Golongan muda melihatnya sebagai satu rekaan minimalis moden, pembeli pertengahan usia tidak rasa BYD Seal 6 terlalu mencuba, manakala pengguna lebih senior pula senang menerima rekaan sebegini. Ini bukan kereta poster atau kereta pameran teknologi, tetapi ia sebuah kereta kerja yang nampak boleh diharap untuk kegunaan harian.

Pendekatan rasional ini diteruskan apabila melangkah masuk ke kabin. Ruang dalaman Seal 6 menggunakan gabungan warna kelabu dan hitam dengan sedikit sentuhan warna cyan dan pencahayaan lembut bagi memecahkan kebosanan.
Kabin terasa lapang dan kemas, serta suasana ini boleh dilaraskan mengikut cita rasa pemandu dengan plilihan warna kabin kesukaan. Jika dibandingkan dengan BYD Seal yang lebih sporti dan agresif, Seal 6 jelas membawa karakter yang berbeza.
Papan pemuka direka dengan mendatar, susun atur ringkas dan tidak sarat dengan emosi atau elemen dramatik. Ia terasa luas, kemas dan direka untuk kekal relevan dalam jangka masa panjang tanpa drama.

Ketiadaan elemen pelik sebenarnya adalah satu kekuatan kepada BYD Seal 6 yang disasarkan kepada pembeli EV kali pertama yang datang dari dunia ICE. Apa sahaja rekaan yang kelihatan terlalu asing boleh menjadi faktor menyebabkan pembeli menolak EV.
Skrin infotainment pula direka dengan logik penggunaan sebenar tanpa ciri rotating. Terdapat butang capaian pantas di bahagian atas dan bawah bagi mengaktifkan ciri kereta seperti lampu, sistem tetapan kenderaan, dan capaian sistem ADAS
BYD Seal 6 juga menerima sokongan gesture tiga jari untuk kawalan penyaman, serta integrasi Android Auto dan Apple CarPlay yang mudah yang mengekalkan capaian butang di bahagian bawah. Satu sentuhan sudah cukup untuk kembali ke menu utama, dan kawalan ventilasi pendingin hawa masih menggunakan corong manual, bukan sepenuhnya bergantung pada skrin.

Dari sudut praktikaliti, Seal 6 tidak kedekut langsung. Semua kerusi hadapan datang dengan pelarasan elektrik dan fungsi pengudaraan, bumbung panoramik yang memberikan rasa lapang, dan ruang simpanan atau glovebox masih dikekalkan.
Ruang but sebesar 465liter cukup besar untuk sebuah sedan, dan apabila kerusi belakang dilipat dalam konfigurasi 60:40, lantainya menjadi rata cukup untuk memuatkan barang yang panjang. Sekiranya tidak cukup, ruang simpanan depan 60 liter masih lagi ada. Tiga penumpang dewasa boleh duduk dengan selesa di belakang, dengan ruang bahu yang memadai untuk perjalanan jauh.
Asas kepada pengalaman ini ialah penggunaan kerangka e-Platform 3.0 dengan teknologi Cell-to-Body. Dalam konfigurasi ini, bateri bukan sekadar komponen tambahan yang menambah berat, tetapi menjadi sebahagian daripada struktur casis.

Hasilnya ialah ketegaran badan yang lebih baik, lantai yang rata serta tahap NVH yang terkawal. Seal 6 terasa solid ketika dipandu, tidak murah dan tidak juga terlalu keras atau sporti. Ia berada di titik tengah yang sesuai untuk kegunaan harian.
Bateri LFP berkapasiti 56.6 kWh memberikan jarak pemanduan sekitar 410 kilometer mengikut kitaran WLTP, dengan angka NEDC mencecah 485 kilometer. Pengecasan pantas DC sehingga 100 kW membolehkan bateri dicas dari 30 ke 80 peratus dalam kira-kira 23 minit, manakala pengecasan AC disokong sehingga 6.6 kW.
Varian Premium pula menggunakan motor pacuan belakang dengan kuasa 215 kuasa kuda dan tork 330 Nm, satu konfigurasi yang jarang ditawarkan dalam segmen harga ini. Bagi varian Premium ia ditawarkan dengan kuasa 129PS dan 220Nm tork.

Di jalan raya, karakter pemanduan Seal 6 sengaja ditala supaya tidak agresif. Respons pendikit ditala supaya tidak melompat, dan kuasa sebenar hanya terasa apabila pedal ditekan lebih separuh. Pendekatan ini menjadikan pemanduan terasa lebih natural, hampir menyamai kereta ICE, dan pada masa yang sama menjaga keselesaan penumpang belakang daripada rasa pening akibat pecutan mengejut.
Mod pemanduan seperti Eco, Normal, Sport dan Snow disediakan, namun walaupun dalam mod Sport, Seal 6 masih mengekalkan sifat terkawal.
Kecekapan tenaga menjadi salah satu kekuatan utama. Dalam penggunaan sebenar, angka sekitar 12 hingga 15 kWh bagi setiap 100 kilometer boleh dicapai untuk pemanduan di lebuhraya dimana banyak tenaga elektrik digunakan dan brek regeneratif adalah minima

Tapi untuk pemanduan bandar, BYD Seal 6 boleh tahan jimat selari dengan dakwaan rasmi sekitar 12 hingga 13 kWh. Pecutan 0 hingga 100 km/j dibuat dalam sekitar 7.5 saat mungkin bukan untuk mengejar kereta sport, tetapi lebih daripada mencukupi untuk kegunaan harian. Manakala kelajuan maksimum dihadkan kepada 180 km/j.
Sistem brek menawarkan tetapan standard dan tinggi, tetapi penulis seperti biasa tetap menggunakan tetapan rendah di bandar bagi mengurangkan rasa brek regeneratif. Sistem suspensi pula menggunakan talaan tempatan bagi penyerap hentak dengan konfigurasi dual ball joint MacPherson di hadapan dan rekaan multi-link di belakang.
Reka bentuk ini membolehkan paksi stereng diletakkan pada kedudukan ideal, menjadikan roda terasa lebih terkawal dan terasing daripada pergerakan stereng. Hasilnya, pergerakan pitch dan roll lebih terkawal berbanding Atto 3 selain pergerakan cesi terasa lebih solid.

Tetapi seperti biasa kelemahan kereta buatan China adalah disebabkan rekaan stereng ringan, yang memudahkan pemanduan dalam bandar dan parkir tetapi pada kelajuan tinggi dalam mod Sport, rasa ringan ini boleh memberikan sedikit rasa kurang yakin. T
Penulis pula terasa skeptikal dengan penggunaan tayar jenama Westlife yang digunakan pula memberikan prestasi yang memadai dari segi bunyi dan cengkaman, walaupun bukan tahap premium. Sesekali apabila membrek di atas permukaan basah terasa seperti cengkaman seolah-olah hampir tiada.
Dalam persekitaran bandar, Seal 6 terasa sangat sesuai. Pemanduan yang melibatkan bergerak dan berhenti dalam kesesakan jalan raya terasa lancar, senyap dan relaks, menjadikannya calon ideal untuk kegunaan harian dan e-hailing.

Di jalan persekutuan atau jalan kampung pula lain cerita. Apabila kelajuan meningkat melebihi 80 km/j, terdapat sedikit rasa membuai seperti yang dialami oleh kebanyakan kereta elektrik lain, menandakan fokus utama kereta ini adalah keselesaan, bukan pemanduan agresif.
Di lebuh raya, kestabilannya baik, dan dengan pekali seretan udara sekitar 0.26, antara terbaik dalam kelas, yang menyumbang kepada potensi jarak pemanduan sekiranya anda pandu dengan berhemah
Akhirnya, semua ini membawa kepada satu persoalan besar apabila melihat harganya. Pada RM115,800, BYD Seal 6 bukan sahaja mengganggu pasaran EV, tetapi turut mencabar SUV, hatchback dan sedan ICE dalam julat harga yang sama.

Nilai yang ditawarkan begitu kuat sehingga sukar untuk tidak tertanya sama ada BYD benar-benar mengaut keuntungan daripada model ini atau model ini dijadikan senjata untuk mengalahkan pesaing merek. Namun mungkin itulah strategi sebenar mereka, bukan sekadar menjual kereta, tetapi membentuk semula pasaran.



