Artikel Pilihan

MITSUBISHI DELICA MINI BAHARU HANGATKAN LAGI SAINGAN KEI VAN – MESIN BASUH PUN MESIN BASUHLAH

Sedar atau tidak inilah antara segmen paling kompetitif di Jepun. Pengeluar kini berlumba keluarkan model kei van yang comel-comel dan berkotak. Mitsubishi Delica Mini diperkenalkan buat pertama kali pada 2023 dan kini penggantinya sudah tiba. Versi terbaru ini kelihatan lebih segar, rugged, naik taraf teknologi dan chasis yang lebih baik untuk menyaingi kei van lain.

Tengok seimbas nampak sama tapi kalau diperhatikan betul-betul memang kebanyakan panel luar kini telah diperbaharui. Bahagian depan kini menampilkan lampu utama LED separuh bulatan gaya Land Rover Defender dengan gril ala Jeep. Bampar pun semestinya diperbaharui dengan plat hentaman yang lebih menonjol.

Kini ia mempunyai dua lagi pilihan warna tambahan yang dinamakan Sand Beige Pearl dan Denim Blue Pearl. Nak tona tunggal boleh dan dua tona pun boleh. Mantap. Panjang keseluruhan masih kekal 3,395 mm sebagai mematuhi peraturan kei car Jepun.

Bahagian dalaman menampilkan kokpit digital moden dengan paparan 7 inci dan 12.3 inci yang diletakkan pada satu panel. Material yang digunakan pada bahagian dalam juga kelihatan lebih premium dengan tebatan bunyi yang lebih baik. Ia juga dilengkapi dengan ADAS yang dipertingkatkan dan Multi Around Monitor 3D dengan empat sensor kamera.

Spesifikasi enjin belum didedahkan oleh Mitsubishi tapi mungkin sedikit lebih tinggi berbanding model sebelum ini yang menggunakan enjin 658 cc tiga selinder. Varian NA menghasilkan 51 hp manakala varian turbo sedikit lebih tinggi,63 hp. Pelanggan juga boleh memilih sistem pacuan yang sesuai dengan mereka. Terdapat pilihan pacuan FWD dan 4WD sepenuh masa dengan kotak gear CVT.

Terdapat lima pilihan mod pemanduan untuk dipilih (Power, Normal, Eco, Gravel dan Snow). Banyak betul pilihan, kalah GR Yaris kau. Delica Mini ini menggunakan penyerap-penyerap hentak Kayaba Prosmooth yang meningkatkan lagi kawalan dan keselesaan.

Harga di Jepun bila dilancarkan ialah sekitar USD13,100 – 19,900. Kat Malaysia? Nanti dah masuk rasanya tak mahal sangat. Jual je telinga sebelah sahih dapat beli tunai.

Google ads
Back to top button