Motosikal

KTM HENTI JUALAN RC 390, GANTI DENGAN RC 450

KTM dengan rasminya menghentikan penjualan KTM RC 390 untuk pasaran global selepas lebih 10 tahun model berkenaan berada dalam pasaran. 

Memetik laporan MCN, KTM membuat keputusan untuk menghentikan produksi RC 390 selepas model tersebut tidak mendapat permintaan tinggi di pasaran global kebelakangan ini. 

Meskipun KTM menaik taraf Duke 390 dari unit satu silinder 373cc kepada 398cc tahun lalu namun RC 390 tidak menerima naik taraf yang sama selepas KTM mengambil maklum model sportsbike itu kurang mendapat perhatian. 

Hasilnya, KTM tidak lagi mengedarkan RC 390 di pasaran global termasuk Eropah, UK dan Asia. Namun begitu, KTM akan terus memasarkan RC 390 di India ekoran perminataan model berkenaan masih signifikan di sana. 

KTM RC 390 membuat debut global pada 2014 dan menjalani beberapa naik taraf termasuk kali terakhir pada 2022. Ini bermakna bermula tahun 2026, hanya Duke 390, 390 Enduro R, 390 SMC R dan 390 Adventure akan dijual. 

Meskipun RC 390 tidak akan diteruskan, KTM akan menggantikan model tersebut dengan RC 450 seperti yang telah dilaporkan sebelum ini. KTM telah pun memfailkan dokumen kelulusan jenis (VTA) di China yang menyaksikan RC 450 berkongsi enjin dua silinder yang sama dengan CFMoto 450 SR.

Google ads
Back to top button