Buletin

MITSUBISHI RALLIART KEMBALI, TAPI BUKAN SEPERTI YANG ANDA HARAPKAN

Beberapa bulan lalu, dunia dikejutkan dengan berita kembalinya divisyen sukan permotoran Ralliart setelah lebih sedekad menyepi tanpa sebarang berita.

Namun, kepulangan Ralliart bukanlah seperti mana yang anda harapkan – ia tidak langsung berkait dengan mana-mana produk yang pantas.

Sebaliknya, Mitsubishi mengumumkan Ralliart sebagai satu pakej aksesori yang boleh didapati di pasaran Thailand untuk model-model seperti Pajero Sport, dan juga trak pikap Triton.

Untuk Pajero Sport, pakej aksesori Ralliart merangkumi kemasan merah pada bampar depan dan belakang, spoiler belakang hitam dengan bumbung hitam, tambahan pada arka roda, alas lantai, mud flap dan grafik sisi Ralliart.

Sementara untuk Triton pula turut mendapat kemasan yang serupa (kecuali tiada spoiler belakang), serta tambahan bedliner untuk ruang kargo belakang.

Lebih menarik apabila pakej aksesori ini hanya ditawarkan untuk model dengan pacuan roda belakang sahaja dengan warna dihadkan kepada hitam dan juga putih.

Dalam beberapa laporan terdahulu, Ralliart merancang untuk menawarkan kembali pengalaman pemanduan atau ‘Mitsubishi-ness driving’ menerusi pengenalan model khusus, malah mahu turut menceburkan diri dalam sukan permotoran.

Mungkin ini merupakan langkah pertama yang diambil oleh Mitsubishi Ralliart untuk menilai tahap penerimaan pengguna sebelum melangkah ke arah yang lebih serius.

Google ads
Back to top button