
TEASER GR COROLLA DIDEDAHKAN, ADA MESEJ TERSEMBUNYI PADA GAMBAR INI
Toyota GR Corolla merupakan antara model hot hatch yang ditunggu-tunggu ramai peminatnya di Amerika Syarikat setelah Toyota membuat keputusan untuk tidak membawa masuk GR Yaris yang dihadkan produksinya itu ke pasaran tersebut.
Malah, beberapa minggu yang lalu Toyota telah memuatnaik sebuah teaser dengan mesej tersembunyi yang memberikan bayangan kehadiran model GR Corolla dengan menggunakan rekaan standard papan pemuka Corolla.
Antara mesej (atau bahasa yang gemar digunakan oleh media – telur Easter) yang disembunyikan dalam gambar itu termasuklah paparan waktu G:16 yang merujuk kepada kod enjin GR Yaris (G16E-GTS).

Ya, GR Corolla sebelum ini diberitakan akan membawakan nadi tiga silinder sebaris 1.6 liter turbo, dengan kuasa 268 hp – menyamai kuasa yang ditawarkan oleh GR Yaris di Jepun – dan secara tidak langsung bertepatan dengan angka 2, 6 dan 8 yang terpapar pada skrin kawalan iklim Corolla itu tadi.
Di bahagian tingkap sebelah kanan, Toyota sengaja meletakkan sebuah Corolla yang sarat dengan pelekat samaran pada jarak yang agak jauh, dan sukar untuk meneka bentuk dan rekaan yang bakal dibawakan oleh GR Corolla ini.
Akhir sekali, paparan peta navigasi pada skrin infotainmen menampilkan sebuah jalan yang dinamakan sebagai GR Four, dan ini merupakan petunjuk kepada sistem pacuan semua roda yang sama digunakan pada model GR Yaris.
Tiada sebarang petanda berhubung tarikh pelancaran rasmi model hot hatch terbaharu daripada Toyota.