Buletin

GARA-GARA HIASAN ‘HANTU’, PEMANDU E-HAILING DIGANTUNG TUGAS

Sebuah syarikat e-hailing bertindak menggantung sementara seorang pemandunya selepas menerima aduan daripada penumpang berhubung keadaan kenderaan yang didakwa mempunyai hiasan menyeramkan dan menimbulkan rasa kurang selesa sepanjang perjalanan.

Menurut syarikat berkenaan, siasatan sedang dijalankan bagi meneliti laporan yang diterima, termasuk mendapatkan maklumat tambahan daripada penumpang yang membuat aduan.

Dalam kenyataan rasmi, syarikat itu memaklumkan bahawa akses pemandu terbabit ke platform telah digantung sementara sehingga siasatan selesai dan pemeriksaan lanjut dilakukan bagi memastikan kenderaan berkenaan memenuhi piawaian keselamatan serta kelayakan penggunaan di jalan raya.

Syarikat itu turut menegaskan bahawa tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan hasil siasatan, sambil menekankan aspek keselamatan dan keselesaan pengguna sebagai keutamaan.

Isu tersebut menjadi perhatian selepas beberapa gambar kenderaan berkenaan tular di media sosial.

Gambar yang dikongsikan menunjukkan sarung penyandar kepala pada kedua-dua tempat duduk hadapan dihiasi wajah menyerupai hantu yang menghadap ke arah penumpang di bahagian belakang.

Selain itu, gambar lain turut memperlihatkan beberapa komponen panel badan di bahagian belakang kenderaan yang dipercayai telah ditanggalkan, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai keadaan fizikal kenderaan tersebut.

Penumpang terbabit kemudian dilaporkan mengemukakan aduan kepada khidmat pelanggan syarikat e-hailing berkenaan berhubung pengalaman yang dialaminya.

Google ads
Back to top button