
Moto Guzzi memperbaharui siri V85 dengan varian warna serta grafik baharu dan terus mengekalkan semangat pengembaraan yang menjadi identiti sejak pertama kali diperkenalkan pada 2019.
Siri model travel enduro ini hadir dalam tiga versi berbeza iaitu V85 Strada, V85 TT dan V85 TT Travel, masing-masing dengan karakter tersendiri untuk pelbagai gaya tunggangan.
Asal-usul V85 – Gabungan Retro dan Moden

Ketika dilancarkan pada 2019, Moto Guzzi V85 TT mencipta segmen baharu dalam dunia motosikal kembara.
Model ini mengabungkan gaya klasik era emas pengembaraan motosikal dengan teknologi dan ciri moden bagi penunggang masa kini.
Ringan, praktikal dan seronok ditunggang, V85 TT dibangunkan untuk mereka yang mencari semangat pengembaraan dalam setiap perjalanan sama ada ke tempat kerja atau ke destinasi jauh.

Siri V85 TT
- 2020: pelancaran varian Travel
- 2021: pengenalan edisi terhad Guardia d’Onore
- 2024: kemas kini besar dengan tiga model utama, V85 Strada, V85 TT dan V85 TT Travel
Untuk 2026, ketiga-tiga model ini hadir dengan warna dan grafik baharu yang lebih segar dan tersendiri.
Enjin V-berkembar 850cc, cardan shaft

Setiap model dalam siri V85 dikuasakan oleh enjin V-berkembar 850cc Euro 5+, dilengkapi sistem pemasaan injap berubah (Variable Valve Timing) bagi memastikan penghantaran kuasa yang lancar dan bertenaga dari kelajuan rendah hingga ke tahap maksimum 80 hp.
Gabungan ini memberikan tindak balas segera terhadap setiap input penunggang, menjadikan setiap perjalanan harian terasa seperti satu pengembaraan baharu.
Moto Guzzi membekalkan tangki bahan api 23 liter, membolehkan perjalanan melebihi 400 km tanpa henti, menjadikannya ideal untuk pengembaraan jarak jauh.
Satu lagi yang menarik, V85 dilengkapi sistem pacuan aci (cardan shaft) iaitu ciri unik dalam kelasnya.
Sistem elektronik lengkap turut memastikan kawalan lebih lancar dan pengalaman tunggangan lebih mengasyikkan, sama ada di jalan raya atau di laluan mencabar.
V85 Strada – Minimalis, Praktikal dan Elegan

V85 Strada menonjolkan nilai asas V85 seperti ringan, praktikal dan mudah dikawal, menjadikannya pilihan ideal untuk penggunaan harian dan tunggangan bandar.
Varian ini menggabungkan kedudukan tunggangan gaya kembara dengan kelincahan motosikal naked, serta mengekalkan reka bentuk minimalis yang anggun dan rim jejari aloi aluminium.
Model 2026 hadir dengan dua pilihan warna baharu iaitu Verde Legnano (hijau klasik) dan Rosso Monza (merah sporti)
V85 TT – Semangat Kembara Sejati

V85 TT merupakan model serba boleh yang menghidupkan semula semangat pengembaraan era 1980-an iaitu motosikal enduro yang mampu ke mana saja, dari jalan bandar ke laluan berdebu luar jalan raya.
Ciri utama:
- Tayar tanpa tiub bersaiz 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang (110/80–19, 150/70–17)
- Perlindungan enjin aluminium (skid plate)
- Pelindung tangan untuk kawalan dan keselamatan tambahan
Model ini kekal dengan kerangka merah ikonik serta gabungan warna yang diinspirasikan landskap dunia. Untuk 2026, dua warna baharu diperkenalkan:
- Giallo Wadi, diinspirasikan warna pasir gurun yang disinari matahari
- Grigio Yanar Dag, mengambil nama dari bukit berapi gas semula jadi di Azerbaijan
V85 TT Travel – Untuk Jelajah Tanpa Batas

Sebagai model pengembaraan jarak jauh, V85 TT Travel dilengkapi perkakasan untuk perjalanan jauh:
- Cermin pelindung tinggi dengan pemesong sisi
- Beg sisi siri Urban
- Pemanas pemegang dan pelana (heated grips & seat)
- Platform multimedia Moto Guzzi MIA
Untuk tahun 2026, model ini diperkenalkan dalam warna baharu Blu Zefiro dan tampil eksklusif dan elegan.
Penawaran di Malaysia
Di pasaran tempatan, Moto Guzzi menawarkan satu varian iaitu V85 TT, seperti yang disenaraikan di laman sesawang rasmi.
Model ini dijual pada harga RM79,900, dengan pilihan warna Rosso Fuji dan Grigio Tambora.
Moto Guzzi V85 Strada 2026









Moto Guzzi V85 TT 2026









Moto Guzzi V85 TT Travel 2026













