
PROTOTAIP MOTO GUZZI 457CC DIKESAN DI EROPAH
Ketika Aprilia memperkenalkann RS 457 hujung tahun lalu, kami sudah pun menjangkakan bahawa enjin tersebut akan turut diguna pakai pada model lain.

Pada awalnya, kami menjangkakan kemunculan Tuono 457 mahupun Tuareg 457 namun gambar prototaip yang sedang menjalani ujian di Eropah menceritakan sebaliknya.

Pertamanya, prototaip tersebut jelas mengguna pakai enjin parallel-twin 457cc yang sama terdapat pada RS 457. Bagaimanapun, enjin tersebut diletakkan pada kerangka jenis ‘steel tube’ berbanding casis ‘aluminium beam’ yang terdapat pada RS 457.

Keduanya, reka bentuk retro yang dipaparkan langsung tidak seiring dengan acuan sedia ada Aprilia. Ketiga, prototaip tersebut juga menggunakan penyerap hentak tunggal yang terletak di bahagian sisi dan bukannya ‘central monoshock’ seperti yang terdapat pada RS 457.
Jadi persoalan kami, model apakah yang dikuasakan platform 457cc tersebut?
Selepas melakukan pengamatan, kami mengenal pasti bahawa prototaip tersebut merupakan sebuah jentera Moto Guzzi yang menggunakan enjin parallel-twin 457cc sama seperti RS 457.

Selain daripada bentuk lampu bulat depan yang jelas diambil dari Moto Guzzi V7, lampu belakang tidak dinafikan lagi merupakan yang sama terdapat pada V100 Mandello.
Ciri lain yang turut merujuk kepada sebuah jentera Moto Guzzi adalah kehadiran tiga lubang udara (ditutup dengan pelekat) di bahagian sisi (dibawah tempat duduk) yang sama terdapat pada V100 Mandello dan V100 Stelvio.
Jika senario ini benar, maka ini merupakan kali pertama Piaggio Group melaksanakan perkongsian platform di antara Aprilia dan Moto Guzzi.