Buletin

MOTOSIKAL PROTOTAIP KAWASAKI EV, HEV BUAT KEMUNCULAN DI LITAR JEPUN

Kawasaki membuat kejutan di Litar Suzuka baru-baru ini dengan memperlihatkan dua buah model konsep yang nampaknya sedia untuk diproduksikan kelak.

Dua jentera yang dimaksudkan itu adalah Kawasaki EV Prototype dan Kawasaki HEV Prototype.

Seperti yang anda lihat, Kawasaki EV Prototype merupakan sebuah jentera naked yang sama seperti model Z250 atau Z400, namun tanpa kehadiran unit enjin pada ruang tersebut.

Sebaliknya, ia telah digantikan dengan trenkuasa motor elektrik tunggal tanpa sebarang kotak gear, serta pek bateri jenis mudah ditukar ganti.

Ini adalah berbeza daripada tetapan yang wujud pada model motosikal terawal, di mana ia adalah lebih berat disebabkan oleh pek bateri besar, dan trenkuasa yang lengkap dengan transmisi manual empat kelajuan.

Sementara sebuah lagi model motosikal masih menampilkan enjin pembakaran dalaman, namun kehadiran pelekat HEV mencuri tumpuan.

Ini kerana, pada jentera ini Kawasaki memadankan enjin parallel-twin dengan sistem hibrid yang berjaya disembunyikan pada seksyen belakang yang agak berisi itu.

Dengan adanya sistem ini, jentera Kawasaki HEV Prototype ini boleh ditunggang menggunakan kuasa elektrik semata-mata (pada kelajuan rendah), atau menggandingkan kuasa motor elektrik dan enjin bersama-sama bergantung kepada keperluan penunggang.

Tidak banyak informasi yang didedahkan buat masa ini, namun Kawasaki dijangka akan melancarkan dua buah model motosikal berkuasa elektrik untuk pasaran Amerika menjelang tahun 2023. – CycleWorld

Google ads
Back to top button