FORD BRONCO HERITAGE EDITION 2 PINTU – SUV MODEN GAYA KLASIK
SUV Ford Bronco ini diantara merupakan SUV klasik keluaran Ford yang cukup popular semenjak dari era 60an lagi apabila generasi pertamanya mula diperkenalkan. Sebelum generasi terkini (generasi keenam diperkenalkan pada tahun 2021), kali terakhir plat nama Bronco ini berada di pasaran adalah pada tahun 1986.
Dan pada tahun lepas, Ford kembali menggunapakai plat nama Bronco ini terhadap SUV baharu mereka setelah bertahun lamanya Bronco ini hilang dalam pasaran. Walau pun tampil dengan gaya yang lebih moden dan segar, namun rekaan Ford Bronco generasi terkini ini masih lagi cuba mengekalkan identity yang klasik, terutamanya membabitkan bahagian grill dan lampu utama yang bulat.
Dan untuk varian ini, Ford memperkenalkan Bronco Heritage Edition dua pintu dalam usaha untuk mengembalikan memori jelmaan Ford Bronco di era 70an, sebuah kenderaan off-road yang lasak. Sama seperti rekaan Ford Bronco terkini, ianya masih mengekalkan pada fascia hadapan.
Model yang dianggap sebagai Specia Edition ini seharusnya menjadi buruan buat para penggemar jenama Bronco apatah lagi Ford hanya membina sejumlah 1966 unit sahaja bagi setiap varian. Jumlah unit yang diproduksi juga menggambarkan era tahun pertengahan 60an yang cukup sinonim dengan Ford Bronco di kala itu.
Menarik tentang model ini, skema dwi-warna merah (Race Red) dan putih (Oxford White) pada bumbung yang diperkenalkan benar – benar menggamit seperti sebuah model SUV di era 60an itu. Warna Oxford White turut diaplikasikan pada grill dengan dikontrakan perkataan tertera FORD yang berwarna merah. Warna Oxford White turut dilayangkan pada rim klasik yang bersaiz 17 inci itu. Ruangan fender pula telah ditarik kelebarannya sehingga ke dua inci bagi mengimbangi saiz rim dan tayar dan besar itu. Cukup sesuai untuk penampilan yang kelihatan klasik dan rugged sebegini.
Ruangan dalaman Ford Bronco Heritage Edition ini juga turut cuba mengekalkan eleman klasik dengan penggunaan fabrik plaid pada ruangan tempat duduk dan juga penggunaan warna Oxford White pada ruangan konsol tengah.
Menggerakkan Ford Bronco Heritage Edition ini adalah pilihan trenkuasa 2.7 liter EcoBoost V6 yang sudah diakui cukup berkuasa. Ianya mampu menghasilkan output maksimum 330 HP dan 415 Nm yang disalurkan melalui kotak gear auto 10 kelajuan. Model SUV yang lasak ini kini dilengkapi dengan pakej sistem High-Performance Off-Road Stability Suspension (H.O.S.S.) 2.0 yang cukup berguna ketika pemandu melalui permukaan yang lasak dan ekstrem dengan keupayaan untuk membuat tetapan mengenai sistem ampaian dengan pelbagai bentuk muka bumi dan juga antiroll bar untuk kestabilan kenderaan. Paling penting, sistem pacuan empat roda turut tersedia untuk memastikan ianya mampu menempuh sebarang permukaan dengan mudah.
Walau bagai mana pun, SUV ini hanya boleh ditempah bermula tahun 2023 nanti. Siapa cepat dialah dapat. Harganya dijangka ditawarkan sekitar $44,305 (RM198,131).
BACA : FORD BRONCO 2021 LEBIH MANTAP DAN RUGGED
BACA : FORD RECALL BRONCO, RANGER – RISIKO CERMIN WINDSHIELD TERCABUT KETIKA KEMALANGAN