
NETIZEN KECAM PENGAYUH BASIKAL DRAFTING BELAKANG LORI
Seorang pengayuh basikal dikecam hebat oleh warganet selepas tular sebuah rakaman video menunjukkan tindakannya mengekori rapat sebuah lori di lebuh raya.
Video berdurasi 15 saat itu memperlihatkan pengayuh berkenaan berada dalam jarak yang sangat dekat dengan tayar belakang lori, dipercayai untuk mengurangkan rintangan angin atau teknik yang dikenali sebagai drafting.
Tindakan berisiko itu menimbulkan kebimbangan kerana sebarang brek mengejut oleh lori boleh menyebabkan kemalangan.
Netizen meluahkan rasa tidak puas hati di media sosial, menganggap perbuatan tersebut membahayakan nyawa sendiri.
Seorang pengguna menulis: “Sekali lori brek, nak salahkan lori pula. Bahaya buat macam ini.”
Seorang lagi memberikan sindiran sinis: “Terpaling cucuk angin. Sama macam rempit ‘fly’, bahaya tetap bahaya.”
Setakat ini, video berkenaan telah meraih lebih 10,000 tontonan, selain mengundang pelbagai reaksi termasuk gesaan supaya penunggang basikal lebih berhati-hati dan tidak melakukan aksi berbahaya di jalan raya. – Kosmo Online








