Buletin

PEMANDU MAUT LORI TERJUNAM MASUK LAUT

Seorang lelaki ditemui lemas apabila lori yang dipandunya terjunam ke dalam laut di jeti Lumut Maritim Terminal, Lumut Port, Kampung Acheh, Sitiawan dekat sini awal pagi tadi.

Mangsa, Aqil Rasydan Razmi, 20, ditemui di dalam kabin tempat duduk pemandu lori tersebut apabila kenderaan itu berjaya dinaikkan kira-kira pukul 9.45 pagi ini, lebih kurang empat jam selepas kejadian itu dipercayai berlaku.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan, Mohd. Azizi Zakaria menjelaskan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.30 pagi mengenai kejadian itu.

“Ia berlaku ketika air pasang menjadikan kedalaman tempat kejadian dianggarkan 15 meter dan sepasukan anggota BBP diketuai saya dengan bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Pulau Pangkor bergegas ke situ,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, maklumat daripada pihak pelabuhan mengesahkan hanya seorang mangsa terlibat dan kapal berdekatan pelabuhan telah ditarik bagi memudahkan operasi penyelamatan.

Jelas beliau, pihaknya menggunakan dua kren untuk menarik lori tersebut ke jeti dan berjaya dilakukan ketika air mulai surut dengan kedalaman antara 10 hingga 11 meter.

Beliau memaklumkan, mangsa telah disahkan meninggal dunia dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Google ads
Back to top button