Buletin

VINFAST LAC HONG 900 LX MAMPU TAHAN 440 PELURU DAN 11 BOM TANGAN

Bayangkan sebuah limousin elektrik yang bukan sahaja mewah, malah mampu bertahan daripada peluru dan bom tangan. Itulah yang dibuktikan oleh VinFast, pengeluar automotif terkemuka dari Vietnam. Ujian ekstrem ini dilakukan untuk model terbaru mereka Lac Hong 900 LX, lapor portal VnExpress.  

Limousin berperisai ini diuji dengan 440 peluru jenis NATO Ball M80 peluru yang biasa digunakan oleh senjata seperti M14 dan AK-47. Bukan itu sahaja, 11 bom tangan juga dihalakan ke kereta tersebut dan ia berjaya menahannya tanpa mengalami kerosakan teruk.

Ujian casis, badan kereta dan cermin dilaksanakan di Pusat Ujian Beschussamt Ulm, Jerman yang terkenal dengan standard kualiti instrumen ketenteraan dan keselamatan tertinggi. Ujian ini melibatkan teknologi keselamatan dan ujian penembusan yang dipatuhi antarabangsa.

VinFast telah menyerahkan unit pertama Lac Hong 900 LX yang telah diuji itu kepada Kementerian Luar Vietnam sebagai kenderaan rasmi untuk membawa pemimpin antarabangsa yang dijangka hadir pada perarakan Hari Kebangsaan 2 September lalu.

Model ini bukan sahaja menampilkan perisai pada badan dan casis, tetapi juga tingkap kalis peluru lengkap dengan pembahagi belakang yang disediakan oleh firma asal Kanada, Inkas Armored Vehicle Manufacturing. Ia jelas menunjukkan komitmen untuk menepati piawaian keselamatan global.

Lac Hong 900 LX bukan sekadar simbol automotif, ia lambang transformasi teknologi automotif Vietnam. Dengan kepakaran ujian antarabangsa, rangka perisai kelas tertinggi dan persiapan untuk membawa tetamu kenamaan, kereta ini menaikkan taraf kereta rasmi ke tahap keselamatan yang tidak pernah dicapai sebelum ini.

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button