Buletin

AKTIVITI BERBASIKAL DI LEBUH RAYA ADALAH DILARANG – JSPT

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman mengingatkan orang ramai bahawa aktiviti berbasikal di lebuh raya adalah dilarang.

Perkara itu disampaikan Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri yang juga tidak berselindung dari menyatakan abahwa jalan raya di Malaysia lebih memberi penekanan kepada pergerakan kenderaan bermotor.

“Dalam Kaedah Lalu Lintas LN165/59 ada menyatakan 18 peraturan asas berkaitan penunggang basikal yang perlu dipatuhi termasuk Peraturan 65 iaitu sentiasa mematuhi undang-undang semua kaedah dan peraturan lalu-lintas.

“Jangan sesekali tidak mempedulikan isyarat jalan. Isyarat tangan bagi keselamatan dan tunjuk arah serta pemandu kenderaan bermotor yang lain,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohd Yusri juga memaklumkan bahawa mengikut Peraturan 66, penunggang basikal perlu menggunakan laluan paling selamat dan menjauhi lau lintas yang sibuk. Pada masa sama, beliau juga meminta pihak konsesi lebuh raya dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk meletakkan papan tanda larangan terhadap penunggang basikal.

Penunggang basikal yang tidak memathui larangan tersebut boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 70 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang menyaksikan individu berdepan denda antara RM1,000 hingga RM5,000 atau penjara 12 bulan.

“Untuk tujuan rekreasi, penunggang sepatutnya berkayuh di kawasan taman yang membenarkan aktiviti rekreasi atau semasa program kayuhan basikal dianjurkan oleh PBT atau pihak lain.

“Seorang penunggang basikal perlu mematuhi 18 peraturan asas LN 165/59 yang ditetapkan sebagai pengguna jalan raya,” tambahnya lagi. – Buletin TV3

Google ads
Back to top button