
LEAPMOTOR TUNJUK HATCHBACK KOMPAK LAFA 5
Pengeluar kereta elektrik dari China, Leapmotor yang disokong oleh Stellantis telah mula memperkenalkan model terbaru mereka iaitu Lafa 5, sebuah hatchback elektrik kompak.
Model ini dijangka membuat penampilan rasmi di IAA Mobility 2025 di Munich, Jerman pada 9 September depan. Uniknya, Lafa 5 ialah model pertama Leapmotor yang menggunakan nama bukan terdiri daripada dua aksara seperti sebelumnya.
Ini menandakan langkah baru mereka untuk memperluaskan pasaran antarabangsa. Kereta ini dikenali dahulu sebagai kod dalaman B05 dan direka khusus untuk mobiliti bandar.

Leapmotor ialah jenama EV yang berkembang pesat dari China dan sebahagiannya telah diambil alih oleh Stellantis. Pada Ogos 2025, jumlah jualannya meraih rekod tertinggi iaitu 57,066 unit dihantar secara global, meningkat 88% berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
Dari Januari hingga Ogos 2025, mereka menjual 328,859 unit dan buat pertama kalinya mencatatkan keuntungan bersih separuh tahun.
Lafa 5 dibina di atas platform LEAP 3.5 modular, yang juga digunakan oleh model crossover B10. Dari segi estetik, ia mengikuti bahasa reka bentuk Leapmotor dengan lampu depan curve LED, pemegang pintu retractable, spoiler atap sporti dan sebuah unit lampu belakang yang memanjang.

Antara perkara menarik yang ada termasuklah LiDAR di atas bumbung, satu ciri yang jarang ditemui dalam EV kompak mampu milik. Kenderaan itu turut dilengkapi cermin sisi berwarna hitam, kamera undur dan fender yang bergaya.
Tiada maklumat rasmi mengenai dimensi Lafa 5, namun berdasarkan kepada visual, ia kelihatan hampir sama saiz dengan Volkswagen ID.3 yang berukuran 4,262 mm panjang, 1,809 mm lebar dan 1,552 mm tinggi.







